Pemain sayap Harimau Malaya, Richard Chin akhirnya mencipta detik bersejarah dalam karier profesionalnya apabila membantu Raith Rovers menjulang kejuaraan Scottish Challenge Cup di Scotland.

Kejayaan itu diraih selepas Raith Rovers menewaskan Inverness Caledonian Thistle 4-1 dalam aksi final sekali gus menamatkan penantian trofi kelab berkenaan sejak 2022.

Raith Rovers memulakan perlawanan dengan aksi agresif apabila Innes Cameron membuka jaringan pada minit ke-29 untuk meletakkan pasukannya di hadapan.

Namun, Inverness berjaya menyamakan kedudukan menerusi jaringan Alfie Stewart lapan minit kemudian, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat separuh masa pertama.

Bersambung babak kedua, Cameron sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua pada minit ke-55 sebelum Dylan Easton menambah dua lagi jaringan pada minit ke-60 dan 69 bagi memastikan kemenangan selesa Raith Rovers.

Richard dimasukkan sebagai pemain gantian seminit selepas jaringan keempat, dengan bekas pemain Charlton Athletic itu memainkan peranan membantu mengukuhkan benteng pertahanan sehingga wisel penamat.

Kejayaan tersebut menjadi trofi pertama buat Richard di pentas profesional selain menandakan peningkatan prestasinya bersama Raith Rovers.

Dalam masa sama, kemenangan itu turut menyaksikan pengendali pasukan, Dougie Imrie meraih trofi pertama sejak mengambil alih pasukan pada November lalu.

Pencapaian ini sekali gus mengukuhkan reputasi Richard sebagai antara pemain Harimau Malaya yang semakin menyerlah di pentas Eropah.