PEMILIHAN kepimpinan baharu Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) hari ini penuh kontroversi sehingga terpaksa dibatalkan.

Manakan tidak, nama calon yang bertanding tidak berada dalam senarai dan dihalang daripada menyertai mesyuarat, malah lebih mengejutkan ahli majlis sendiri, tidak dibenar masuk.

Calon jawatan presiden, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin terpaksa berdepan sekurang-kurangnya empat “bouncer” yang menghalang beliau dan barisan calon lain, daripada memasuki dewan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) PHKL.

Datuk Seri Megat D Shahriman persoal pengurusan AGM PHKL yang menghalang ahli dan calon masuk mesyuarat.

“Saya datang dengan hati terbuka dan gembira, sammpai sahaja ketika daftar, nama saya tiada dalam persatuan yang saya menjadi ahli sejak 2019,

“Bukan saya sahaja, ahli majlis sendiri tidak dapat masuk… adakah ini taktik atau trick lama? Ini tidak sihat, apa lagi meletakkan orang luar yang tidak berkenaan dengan PHKL, untuk menyusahkan ahli sendiri, saya nak tahu apa motif mereka,” kata Megat.

Menurut Megat, ahli PHKL berhak menentukan kepimpinan dan beliau dan barisan valon lain bersedia menerima apa sahaja keputusan termasuk kekalahan.

Mazlan kecewa AGM PHKL ditangguhkan lagi.

Seorang daripada ahli gabungan PHKL, wakil dari Kelab Sukan TM Ibu Pejabat, Mazlan Ismail berkata, mereka tidak tahu apa yang PHKL mahukan selepas ahli berkumpul dan membatalkan mesyuarat itu.

“Sekurang-kurangnya apabila kami sudah datang ni, biar selesai kerana sebelum ini sudah tunda… tak tahu apa sebenarnya mereka maukan.

“Saya pasti, dengan penangguhan ini akan menjejaskan program pembangunan, stadium juga ada masalah yang saya rasa sudah dua tahun berlarutan,” kata Mazlan.

Hawari mendakwa tiada perubahan dibawa kepimpinan sedia ada dan tidak menyelesaikan sebarang masalah.

Sementara itu, Presiden Kelab Hoki Freelance, Hawari Ahmad Radze berkata, penundaan pemilihan dan mesyuarat tersebut membantutkan aktiviti yang perlku PHKL laksanakan, terutama pembangunan dan pelaksanaan liga yang berkualiti.

“Mesyuarat ini sepatutnya boleh berjalan lebih lancar dan lebih terbuka, mengikut perlembagaan yang ditetapkan.

“Namun pembatalan hari ini menimbulkan tanda tannya, apa hala tuju sebenar dan selama ini sememangnya tiada perubahan yang berlaku.

“Sebagai affiliate, kami harap mendapat fasiliti yang lebih baik, slot training dan liga yang berkualiti,” jelas Hawari.