MESYUARAT Agung Tahunan (AGM) Persatuan Hoki Kuala Lumpur (PHKL) sekali lagi ditunda selepas Presiden PHKL, I Vikneswaran, mengambil keputusan tersebut ekoran “kekecohan” yang berlaku.

Menurut Vikneswaran, keputusan itu dibuat demi menjaga keselamatan ahli gabungan persatuan, dan laporan penuh penangguhan AGM itu, akan dihantar kepada Pesuruhjaya Sukan (PJS) untuk menentukan status AGM.

“Ini bukan jalan terakhir, tetapi jalan terbaik kerana jika mesyuarat diteruskan, insiden seperti ini mungkin berulang. Ia hanya membuang masa semua pihak, termasuk ahli gabungan, media, dan mereka yang terlibat,” katanya, ditemui media di Brickfields.

I Vikneswaran

Dalam pada itu, Vikneswaran turut menafikan dakwaan bahawa beliau membawa “kaki pukul” ke mesyuarat, sebaliknya menjelaskan bahawa individu terbabit diamanahkan untuk memastikan kelancaran AGM.

PHKL dijadual mengadakan AGM ke-28 hari ini, melibatkan pemilihan kepimpinan baharu.

Namun kekecohan mula berlaku sebaik barisan calon yang berbeza hadir, setelah pihak yang diketuai calon Presiden menentang Vikneswaran, Datuk Seri Megat D Shahriman D Zaharuddin dikatakan tidak ada dalam senarai sekali gus tidak dibenarkan masuk.

Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharuddin, bertikam lidah dengan pengawal yang menghalangnya daripada menyertai AGM.

Tinjauan Flash Sukan mendapati, belum sempat AGM bermula, kedengaran suara Vikneswaran membuat pengumuman bahawa mesyuarat itu ditunda dan pihaknya akan menghantar surat kepada PJS.

Sebelum ini, Vikneswaran membuat laporan polis berhubung dakwaan pemalsuan tandatangan dalam borang pencalonan, yang dipercayai melibatkan Persatuan Pendidikan Sukan Hoki Kuala Lumpur (HockAcademy) di bawah pimpinan Megat.

Namun keputusan Vikneswaran menyerahkan isu itu kepada PJS dilihat sebagai tindakan mahu meredakan keadaan dan memastikan proses AGM berjalan lebih lancar pada masa akan datang.