MALANG menimpa dua pasukan Liga Super, Sarawak United dan Melaka United FC yang telah disahkan gagal untuk mendapatkan Lesen Kebangsaan selepas permohonan mereka tidak memenuhi kriteria yang telah ditetapkan oleh Kitaran Peraturan Pelesenan Kelab MFL 2022.
Akibat dari kegagalan ini, Sarawak United dan Melaka United tidak dapat beraksi dalam saingan Liga Super 2023 namun masih diberi peluang oleh Pelesenan Kelab MFL First Instance Body (FIB) untuk membuat rayuan dalam tempoh tujuh hari iaitu 19 Oktober 2022 sebelum atau pada jam 5.00 petang.
Keputusan itu telah diumumkan oleh Pengerusi FIB iaitu Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu sidang media dan turut mendedahkan sebab kedua-dua pasukan ini gagal mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Sheikh Mohd Nasir Sheik Mohd Sharif, Pengerusi Perlesenan Kelab MFL FIB
“Melaka United gagal mengemukakan bukti pembayaran tunggakan gaji pemain dan pegawai sehingga Ogos 2022 serta tidak menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan bagi memenuhi syarat sub kriteria kewangan F.04 dan F.11.
“Sarawak United pula gagal memenuhi kriteria kewangan dan kesukanan serta mempunyai dua kes FIFA di mana keputusan telah dibuat oleh DRC FIFA terhadap dua bekas pemain iaitu Sandro Da Silva dan Taylor Regan,” katanya dalam sidang media itu.
Turut hadir sama dalam majlis itu adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL Stuart Ramalingam yang berkata saingan Liga Super musim hadapan tidak menjejaskan perancangan asal pihaknya sekiranya kedua-dua pasukan ini tidak dibenarkan bertanding.

Stuart Ramalingam, Ketua Pegawai Eksekutif MFL
Dalam masa yang sama juga, Stuart tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai kemungkinan kedua-dua pasukan ini berkemungkinan beraksi dalam saingan Liga M3.
“Benar jika kedua-dua pasukan ini tidak mendapat lesen kita akan kekal dengan format 16 pasukan sama seperti idea untuk musim 2024 di mana Liga Super akan mempunyai 16 pasukan sahaja.
“Berdasarkan format dan struktur liga kita saya tidak mempunyai kapasiti untuk memberikan komen mengenai penyertaan kedua-dua pasukan ini dalam Liga M3 dan hanya Amateur Football League (AFL) sahaja yang boleh membuat keputusan untuk menerima pasukan itu dalam saingan Liga M3 atau tidak.”
10 pasukan yang bertanding dalam Liga Super 2022 telah berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekali gus melayakkan mereka bertanding dalam saingan Liga Super 2023.#LigaSuper2023 #MFL
— #LigaMalaysia2022 (@MFL_MY) October 12, 2022
FIB turut menjelaskan 10 pasukan Liga Super dan enam pasukan Liga Premier berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan sekaligus layak bersaing dalam Liga Super 2023.
16 pasukan tersebut adalah Johor Darul Ta’zim, Kedah Darul Aman FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, PJ City FC, Sri Pahang FC, Selangor FC, Terengganu FC, Kuala Lumpur City FC dan Sabah FC untuk Liga Super manakala Kelantan FC, Kuching City FC, Kelantan United FC, Perak FC, PDRM FC and UiTM FC dari Liga Premier.