FOTO : SRI PAHANG FC

PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengucapkan tahniah kepada para pemainnya yang berjaya menyaingi Johor Darul Ta’zim (JDT) meskipun rekod tanpa kalah mereka tercalar selepas tewas 0-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Rabu.

Fandi turut berkata para pemain sudah mengikuti segala arahan taktikal yang diberikan namun gol pada minit akhir babak pertama mengubah pelan permainan dan akhirnya terpaksa akur dengan kekuatan yang ada pada skuad Harimau Selatan.

Dia juga turut mengakui ketiadaan beberapa tonggak utama sedikit menyukarkan pasukan dan JDT adalah pasukan yang sangat baik kerana mereka mempunyai solusi untuk mengatasi apa sahaja halangan yang cuba dilakukan skuad Tok Gajah.

“Kita kalah kepada pasukan yang terbaik dalam liga. Tahniah kepada pemain yang memberikan 100 peratus dan hampir berjaya mencipta kejutan tetapi gol pada minit akhir babak pertama menjatuhkan sedikit semangat. Saya bangga dengan semangat pemain yang berikan segalanya meskipun tanpa pemain utama. Pemain menunjukkan persembahan yang baik dan berikan tekanan kepada JDT selain kami juga mempunyai beberapa peluang tetapi mereka sentiasa lebih baik.

“Taktikal kami memang untuk tutup Arif Aiman dan hantarannya berjaya dipatahkan barisan pertahanan. Taktikal kami berkesan tetapi mereka bijak mengambil peluang. Gol Bergson itu kami tak sangka dan membuatkan kami terasa sangat. Perlawanan pasti berubah jika kekal 0-0 pada babak pertama kerana mereka akan kecewa tetapi treler bocor juga akhirnya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Fandi turut mengakui dia memerlukan beberapa lagi pemain terutama di barisan pertahanan dan tengah menjelang jendela perpindahan kedua nanti namun dia gembira kerana pemainnya menunjukkan semangat yang baik walaupun sedar bukan mudah untuk menewaskan JDT.

 

“Kita agak kekurangan di barisan simpanan kerana kehilangan tiga pemain dan pemain pinjaman. Namun pemain yang menggantikan bermain baik dan mendengar arahan barisan kejurulatihan. Saya gembira dengan persembahan meskipun sedar bukan mudah untuk ditewaskan dan kami hanya kalah 2-0 dan dapat lancarkan beberapa peluang.

“Pemain sangat berdisiplin dan mengikuti arahan taktikal. Mereka juga berikan pandangan untuk berhadapan JDT. Tanpa Azam dan Aguero kami sedikit bermasalah kerana mereka masih perlu berehat selama dua minggu. Namun pujian harus diberikan kepada JDT kerana apa sahaja kita buat, JDT ada jalan untuk memenangi perlawanan,” tambahnya.

Kekalahan pertama musim ini menyaksikan Sri Pahang kekal di tangga ketiga Liga Super, tiga mata ketinggalan tiga mata dibelakang pasukan tempat kedua, Selangor manakala JDT mengukuhkan cengkaman di tangga teratas liga selepas berakhir 12 perlawanan.