Kemenangan yang dicari-cari Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB MHL) 2026 akhirnya ditemui pada aksi ketiga mereka hari ini, selepas menewaskan Armed Forces HT (ATM), 7-1.

Maybank dalam pada itu meletakkan pasukannya kini dikedudukan teratas liga dengan mengumpul 7 mata keseluruhan selepas tiga perlawanan, susulan kemenangan bersih 7-0 yang direkodkan pada pertemuan dengan TNB Thunderbolts, semalam.

Pada aksi yang berlangsung jam 6:00 petang di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, penyerang sensasi THT yang juga pemain kebangsaan, Faizal Saari, meledak empat gol dalam membantu pasukannya mengutip tiga mata pertama.

Bermula dengan gol pembukaan minit ke-18 menerusi Muhammad Abid Suffian Mat Ruslee, THT memastikan mereka menuju ke rehat separuh masa pertama dengan kelebihan dua gol dihadapan selepas beberapa saat sebelum tamat separuh masa, Muhammad Arif Syafie Ishak meletakkan nama selaku penjaring kedua.

Tiga minit selepas separuh masa kedua bersambung, Faizal Saari mula membuka akaun jaringan peribadinya pada aksi tersebut dengan penyudahan pukulan sudut penalti. ATM meraih gol saguhati mereka pada pada minit ke-43 menerusi Muhammad Hilmi Midi.

Seakan tidak puas dengan jaringan yang telah direkod, THT terus mengganas dengan jaringan hatrik Faizal Saari dalam tempoh seminit bermula dengan dihadiahkan penalti stroke, Faizal Saari memastikan kelebihan tersebut dimanfaatkan dengan sebaiknya pada minti ke-51.

Beberapa saat permainan dimulakan semula, Faizal Saari sekali lagi menyala dengan ledakan hatrik dan seminit kemudian, gol keenam peribadinya pada saingan liga hadir selepas satu lagi penalti stroke dihadiahkan kepada mereka.

Malam gemilang THT ditutup dengan jaringan ketujuh yang juga gol kemenangan pada minit ke-56, kali ini Mohammad Harris Iskandar Osman memastikan namanya turut tersenarai sebagai salah seorang penjaring hasil gol padang.

Kemenangan yang diraih skuad bimbingan Mohd Harfizi Baharom pada aksi ketiga mereka itu membolehkan mereka kini mengumpul keseluruhan 4 mata dengan rekod satu tewas, satu seri dan satu menang.

Beliau turut menyifatkan pasukannya itu telah kembali berada di landasan sebenar dalam mencabar pasukan lain dan menemui rentak untuk mencipta peluang gol termasuk menerusi pukulan sudut penalti.

“Pemain kini mula mendapat rentak dan kembali ke landasan yang betul. Hari ini pemain mencipta peluang gol dan manfaatkan pukulan sudut penalti dengan baik. Bukan itu sahaja, mereka turut mengikut perancangan yang dirangka sehingga kami berjaya keluar dengan kemenangan 7-1.

“Hari ini juga perkara positif yang saya lihat, keserasian antara pemain import dengan pemain tempatan mula terlihat dan memberikan impak kepada pasukan,” jelasnya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan.

Aksi keempat mereka akan bersambung pada 26 April (Ahad) di Batu Buruk dengan TNB Thunderbolts akan bertandang ke Darul Iman.

Harfizi Baharom menjelaskan, sesi latihan yang akan diteruskan akan lebih menumpukan kepada pembentukan keserasian yang lebih baik antara pemain serta memperkemaskan lagi corak menyerang.

Dalam satu lagi perlawanan yang turut berlangsung di venue yang sama, Maybank menambah tiga lagi mata dalam akaun kedudukan liga selepas merekodkan kemenangan bergaya 7-0 ke atas TNB Thunderbolts.

Muhammad Shahril Saabah muncul penjaring hatrik hasil tiga gol padang pada minit ke-11, 25 dan 55 sementara Muhammad Najmi Farizal Jazlan mencetak dua gol pukulan sudut penalti (m’ 57 dan m’58). Dua lagi gol disumbangkan Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin (m’13) serta Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini (m’ 26) pada malam pesta gol Maybank.

Perlawanan keempat Maybank akan berlangsung pada Ahad (26 April) bertemu UITM HA-KPT pada jam 8:00 malam.