Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mencadangkan agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 ditangguhkan.

Baginda bertitah keputusan itu wajar dipertimbangkan berikutan kos penganjuran yang tinggi selain mengambil kira keadaan ekonomi semasa serta situasi geopolitik di Asia Barat.

Selain itu, baginda turut menekankan keperluan untuk memastikan Stadium Shah Alam siap sepenuhnya sebelum temasya sukan terbesar negara itu dianjurkan.

Baginda titah demikian ketika Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, SUK hari ini.

Bagaimanapun, sebelum ini pihak penganjur memaklumkan SUKMA 2026 akan tetap diteruskan seperti dijadualkan dari 15 hingga 24 Ogos.

Keputusan tersebut dibuat selepas Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari dengan mengambil kira pelbagai aspek termasuk kesiapsiagaan atlet dan penganjur.

SUKMA 2026 dijangka mempertandingkan 474 acara daripada 37 jenis sukan melibatkan atlet lelaki, wanita serta kategori campuran.

Sebanyak 53 venue di sembilan daerah di Selangor akan digunakan bagi temasya tersebut, melibatkan pelbagai pihak termasuk institusi pengajian, agensi kerajaan dan sektor swasta.

Cadangan penangguhan itu kini dilihat sebagai satu pertimbangan penting dalam memastikan penganjuran SUKMA berjalan lancar tanpa memberi tekanan kepada aspek kewangan dan logistik.

Sumber Gambar: FB SUKMA 2026