PASUKAN Sabah FC menamatkan kemarau 7 tahun tanpa piala domestik apabila menewaskan Penang FC menerusi penentuan sepakan penalti dalam aksi final kedua MFL Challenge Cup 2025-26 yang berlangsung di Stadium Likas semalam.

Kehadiran 20,589 penyokong tuan rumah jelas memberi kelebihan buat Sabah FC, dengan sorakan padu dianggap sebagai ‘pemain ke-12’ yang membantu meningkatkan semangat pasukan.

Ketua jurulatih Sabah FC, Juan Torres Garrido mengakui sokongan penyokong memainkan peranan besar dalam kemenangan tersebut, terutama ketika pasukan berdepan detik sukar.

“Kami merasakan sokongan dan semangat tambahan pada separuh masa kedua, masa tambahan dan penentuan sepakan penalti. Sudah pasti mereka (penyokong) aspek penting dalam kemenangan ini,” katanya.

Perlawanan berakhir tanpa jaringan sebelum Sabah FC muncul pemenang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas agregat kedua-dua pasukan terikat.

Garrido turut menjelaskan pasukannya mengambil masa untuk mendapatkan rentak permainan pada awal aksi sebelum kembali menguasai perlawanan.

“Menjelang akhir separuh masa pertama, kami mula menguasai permainan semula. Saya rasa untuk sebahagian besar perlawanan, kami pasukan yang lebih baik dan layak untuk menang,” katanya.

Beliau juga memuji semangat juang tinggi pemain yang kekal fokus sehingga penentuan penalti, sekali gus memastikan trofi menjadi milik Sabah FC.

Kejayaan itu disifatkan sebagai pencapaian bermakna buat pasukan, apatah lagi diraih di hadapan penyokong sendiri, selain menjadi suntikan motivasi untuk baki saingan musim ini.

Sumber Gambar: FB MFL