SATU pencapaian yang membanggakan negara apabila pengadil futsal negara terus diberi kepercayaan di peringkat dunia.
Nama Badrul Hisham Kalam kini menjadi sebutan peminat-peminat sukan tanah air apabila terpilih sebagai Penilai Pengadil untuk Kejohanan Piala Dunia Futsal Fifa di Uzbekistan.
Penglibatan pesara kerajaan yang berusia 52 tahun itu yang hampir tiga dekad dalam sukan ini bukan hanya membanggakan, malah turut membuka jalan kepada lebih ramai pengadil dari Malaysia ke pentas dunia.
Bola sepak ke futsal
Badrul mula terlibat dalam dunia kepengadilan bola sepak pada tahun 1995, ketika lulus ujian pengadil di bawah Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).
Keputusan untuk menceburi bidang kepengadilan timbul dari keinginannya untuk terus menyumbang kepada sukan yang diminatinya.
“Saya minat bola sepak sejak kecil lagi. Meskipun saya pernah mewakili ATM di Piala Razak 1988, saya bukan pemain yang cukup baik untuk bermain di peringkat tertinggi.
“Jadi, saya ingin menyumbang sesuatu kepada sukan yang saya minati ini. Maka saya mengambil keputusan untuk menceburi bidang kepengadilan bolasepak,” kongsinya kepada FLASH SUKAN.
Setelah lulus ujian kebangsaan pada tahun 1999, Badrul memulakan karier sebagai pengadil bola sepak kebangsaan pada tahun 2000, yang menyaksikan dia kerap dilantik untuk mengadili pelbagai kejohanan termasuk Liga Super, Piala Malaysia dan Piala Belia.
Selain bola sepak, Badrul mula mengadili perlawanan futsal pada tahun 1998. Pada tahun 2004, dia mendapat pengiktirafan sebagai Pengadil Futsal Fifa, sebuah pencapaian yang meletakkan dirinya di landasan untuk bertugas di kejohanan-kejohanan peringkat antarabangsa.
Mula mewakili Malaysia
Sebagai pengadil futsal, Badrul telah mengendalikan pelbagai kejohanan penting di Asia seperti AFC Futsal Championship (kini dikenali sebagai AFC Futsal Asian Cup) dari 2004 hingga 2009.
Pengalaman paling manis baginya adalah dilantik sebagai pengadil untuk tiga perlawanan akhir kejohanan tersebut (2004, 2005, dan 2007). Namun, pencapaian tertinggi Badrul adalah apabila dipilih untuk bertugas di Piala Dunia Futsal Fifa 2008 di Brazil.
“Setiap pengadil mengimpikan untuk bertugas di kejohanan terbesar di dunia, dan menerima lantikan daripada Fifa untuk Piala Dunia Futsal 2008 adalah suatu penghormatan besar buat saya dan negara. Ianya satu amanah yang besar, tetapi saya bangga dapat mewakili Malaysia di pentas dunia,” kata Badrul ketika mengenang momen tersebut.
Selain Piala Dunia, Badrul juga telah dilantik sebagai pengadil di pelbagai kejohanan futsal peringkat Asean dan Asia Barat.
“Pengalaman paling berharga bagi saya adalah dapat menunjukkan bahawa walaupun pasukan futsal negara kita belum ke peringkat tertinggi dunia, pengadil Malaysia boleh menunjukkan kualiti di kejohanan dunia dan mengadili perlawanan bersama dengan Top Futsal Referees in the World,” jelasnya.
Tukar ‘position’
Sejak menamatkan karier sebagai pengadil pada tahun 2009, Badrul terus aktif dalam bidang kepengadilan sebagai jurulatih dan pemerhati pengadil futsal.
Dia telah dilantik sebagai Jurulatih Pengadil Futsal Fifa dan AFC, membimbing pengadil di seluruh dunia. Pada tahun 2021, Badrul berkhidmat sebagai Referee Instructor di Piala Dunia Futsal Fifa Lithuania 2021.
Tahun ini, Badrul kembali bertugas di Fifa Futsal World Cup Uzbekistan 2024.
“Tugas saya bukan mudah, kerana saya perlu membimbing pengadil dari pelbagai latar belakang dan bahasa. Bahasa utama yang digunakan adalah Bahasa Inggeris, jadi saya harus menggunakan bahasa yang mudah, serta bahasa tubuh untuk memastikan semua pengadil memahami arahan,” jelasnya tentang cabaran melatih pengadil antarabangsa.
Badrul turut meluahkan rasa bangga apabila pengadil dari Asia diberi kepercayaan oleh Fifa untuk mengadili perlawanan penting.
“Kemuncaknya adalah apabila pengadil dari AFC dilantik untuk perlawanan akhir Piala Dunia Futsal 2021. Harapan saya, untuk edisi kali ini, pengadil dari Asia sekali lagi mendapat kepercayaan Fifa,” tambahnya.
Fifa Futsal World Cup 2024
Badrul kini bertugasnya di Piala Dunia Futsal Uzbekistan 2024. Dia telah berlepas ke Tashkent pada 31 Ogos 2024 lalu untuk menjalani kursus persiapan selama 14 hari sebelum kejohanan bermula.
“Persiapan fizikal dan mental adalah penting, tapi yang lebih penting adalah memastikan semua urusan keluarga selesai sebelum saya bertugas. Ini membolehkan saya fokus sepenuhnya di Uzbekistan,” kata Badrul.
Badrul juga berharap agar semua pengadil yang terpilih menunjukkan prestasi terbaik.
“Semua pengadil telah menunjukkan kualiti yang baik setakat ini. Harapan saya adalah mereka terus fokus sehingga wisel terakhir,” ujarnya.
Momen berharga
Apabila ditanya tentang momen paling membanggakan dalam kariernya, Badrul menyatakan rasa bangganya kerana Fifa telah memberi kepercayaan kepada pengadil dari Asia untuk mengadili perlawanan penting di peringkat dunia.
Badrul menekankan bahawa kepercayaan ini membuktikan bahawa pengadil dari Asia mempunyai kualiti setanding dengan pengadil dari Eropah dan Amerika Latin, sekali gus meningkatkan reputasi pengadil dari benua ini di arena antarabangsa.
“Sebagai tenaga pengajar utama pengadil futsal di AFC, saya berbangga apabila Fifa mempercayai pengadil dari Asia untuk mengadili perlawanan penting di peringkat dunia. Ini menunjukkan bahawa pengadil dari Asia setanding dengan pengadil dari Eropah dan Amerika Latin.”
Pentingnya minat
Sebagai individu yang telah berkhidmat di peringkat tertinggi kepengadilan, Badrul mempunyai nasihat khusus kepada generasi muda yang berminat menjadi pengadil.
“Pengadil bukanlah tempat untuk mencari duit tambahan. Untuk menjadi pengadil, perlu ada minat yang mendalam terhadap futsal dan bersedia berkorban masa untuk latihan serta menimba ilmu. Apabila kualiti anda telah dikenali, ganjaran akan datang dengan sendirinya,” pesannya.
Badrul kini menjadi inspirasi kepada pengadil muda di Malaysia, membuktikan bahawa dengan dedikasi dan usaha, seseorang mampu mencapai kejayaan di pentas dunia.