ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan berjaya mengemaskan lagi profilnya setelah diangkat sebagai Olahragawan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pada Majlis Anugerah Sukan (MAS) yang berlangsung pada malam Selasa.
Bagi Aniq, anugerah tersebut sekadar selingan dalam hasil titik peluh dirinya selama ini, dalam bergelar sebagai seorang pelajar dan atlet.
Aniq yang berusia 22 tahun itu turut menyatakan bahawa dia akan beralih tumpuan untuk mencipta sasaran terbaharu dalam memecahkan rekod angkatan berat 305 kilogram (kg) sejurus memburu mata untuk melayakkan dirinya ke temasya sukan Olimpik Paris 2024.
“Kejayaan meraih kemenangan Olahragawan buat kali kedua berturut-turut telah beri motivasi tambahan untuk saya memburu lebih banyak kejayaan selepas ini termasuk menempah slot ke Olimpik Paris 2024.
“Insya Allah, sasaran peribadi saya untuk tahun ini adalah 305 kg. Saya akan cuba capai angkatan tersebut. Tetapi, untuk kejohanan di Thailand pada April nanti, saya sasar 300 kg angkatan dahulu,” ulasnya ketika ditemui di Majlis Anugerah Sukan UiTM, semalam.
Sementara itu, Aniq turut memberi respon positif mengenai program Road To Gold (RTG) dimana dia juga antara atlet yang tersenarai dalam program tersebut.
Aniq memberitahu bahawa program RTG itu banyak membantu dirinya dari segi motivasi, peralatan dari Majlis Sukan Negara serta Institut Sukan Negara bahkan membantu dirinya pulih dari kecederaan dengan lebih cepat.
Untuk rekod, Aniq kini berada di ranking ketujuh dalam kelayakan ke Olimpik 2024 sekali gus menjadi satu bayangan besar bahawa badang negara itu akan beraksi di temasya sukan berprestij itu nanti.