Select Page

MPFL 2023 : Terengganu lebur rekod tanpa kalah Pulau Pinang

MPFL 2023 : Terengganu lebur rekod tanpa kalah Pulau Pinang

REKOD tanpa kalah Pulau Pinang dalam Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) lebur setelah tunduk 2-5 kepada Terengganu dalam aksi Kumpulan A, pada Sabtu.

Turun selaku pelawat, pintu gol Pulau Pinang dibolosi seawal minit kedua menerusi Muhamad Fitrah Mohamad yang menghukum kelekaan pertahanan lawan.

Hanya seminit kemudian Terengganu melebarkan jaringan hasil jaringan mudah Zulkarnain Abdul Majid berpunca umpanan Mohd. Hafiz Ismail dari sebelah kiri.

Pulau Pinang yang ketinggalan dua gol memperoleh peluang terbaik namun sepakan Tarmizi Abdul Ghafar dinafikan sebelum tindakan susulannya menggegar palang.

Kedudukan menjadi 3-0 memihak tuan rumah pada minit kelapan setelah Muhamad Fitrah menyumbat gol kedua peribadi dengan menyambar gerakan Amirrul Izzad Adang.

Terengganu makin selesa selepas Syed Shahrul Niezam Syed Abdul Rahim (m-10) mengelecek penjaga gol pelawat untuk menolak masuk bola ke arah pintu gol yang terbuka luas.

Keghairahan Pulau Pinang melancarkan serangan kemudian dihukum Alif Izzat Rosdi yang memanfaatkan peluang menerusi serangan balas untuk gol kelima Terengganu pada minit ke-35.

Pemain gantian, Syazwan Ashraf Musa dan Sirhan Aiman Saipubahrim mengurangkan defisit gol pada minit ke-37 dan ke-40 namun sekadar menjadi gol saguhati buat Pulau Pinang.

Video Terkini

Loading...