MALAYSIA melakar sejarah apabila Selangor diumumkan sebagai tuan rumah rasmi Sukan Solidariti Islam ke-7 2029, sekali gus menobatkan negara sebagai hab sukan dunia Islam.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (NOC Malaysia), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, menyifatkan pemilihan itu sebagai satu penghormatan besar kepada Malaysia dan bukti kesepaduan nasional dalam memartabatkan sukan Islam.

“Kami amat berbesar hati dan berterima kasih kepada ISSA atas kepercayaan ini. Pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah mencerminkan semangat perpaduan serta komitmen tinggi negara dalam mengangkat nilai dan objektif sukan Islam,” katanya.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berucap di pentas ketika menerima perkhabaran baik,Selangor terpilih menjadi tuan rumah Islamic Solidarity Games 2029. 

Beliau turut menegaskan kejayaan bidaan itu adalah hasil kerjasama erat antara Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan, yang berkongsi visi sama dalam memacu pembangunan sukan bertaraf dunia.

“Selangor memiliki infrastruktur moden, kemudahan sukan bertaraf antarabangsa dan semangat masyarakat majmuk yang melambangkan kekuatan Malaysia sebagai negara Islam progresif,” jelasnya.

Menurut Norza, temasya bertemakan ‘Selangor 2029: Spirit of Unity’ bakal menjadi penanda aras baharu dalam aspek keterangkuman, kelestarian dan warisan sukan dunia Islam.

“Kami yakin Sukan Solidariti Islam 2029 bukan sekadar pertandingan, tetapi simbol kesatuan ummah dan semangat kemanusiaan sejagat,” ujar Norza dengan penuh keyakinan.