PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) membuka ruang besar kepada Lee Zii Jia untuk kembali mengemudi kekuatan skuad negara, apabila nama bintang profesional itu berada dalam radar utama bagi Piala Thomas di Horsens, Denmark tahun depan.
Pengerusi Jawatankuasa Prestasi BAM, Datuk Seri Lee Chong Wei, mengesahkan Zii Jia bakal dipanggil menyertai kem latihan berpusat bersama pemain profesional lain, sebagai sebahagian percaturan strategi yang dianggap mampu mengubah nasib skuad negara.
Walaupun musimnya berakhir lebih awal akibat kecederaan pergelangan kaki dan masalah belakang, Zii Jia tetap dinilai sebagai aset berprofil tinggi yang tidak boleh diketepikan dalam pertempuran berpasukan paling berprestij itu.
Untuk rekod, Zii Jia hanya beraksi di lima kejohanan sepanjang 2025.

Lee Zii Jia dipanggil jalani latihan skuad Piala Thomas 2026.
“Kami masih menunggu laporan pemulihannya, tetapi kalau dia cergas, dia antara tonggak yang perlu ada,” tegas Chong Wei, selepas mempengerusikan mesyuarat bersama barisan kejurulatihan BAM.
BAM turut menilai cadangan mengadakan kem latihan di Denmark dengan Kenneth Jonassen dan Rexy Mainaky kini memuktamadkan pelan latihan berintensiti tinggi.
Namun di sebalik itu, Chong Wei mengakui sektor perseorangan negara masih rapuh dengan Leong Jun Hao, Justin Hoh, Aidil Sholeh dan Eogene Ewe belum mencapai konsistensi diinginkan.
Aksi mereka di Sukan SEA Thailand minggu depan bakal menjadi penanda aras penting sebelum proses pemilihan skuad Piala Thomas memasuki fasa penentu.
Skuad negara akan berlepas ke Thailand Jumaat ini.