MANCHESTER United mengalami kekalahan pahit apabila tewas teruk 3-0 kepada Tottenham Hotspur dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pada Ahad.
Kapten pasukan, Bruno Fernandes, menjadi tumpuan selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil Chris Kavanagh di penghujung babak pertama.
Meskipun The Red Devils bermain sepanjang separuh masa kedua dengan hanya 10 pemain, mereka tetap berjaya memberikan tekanan kepada Spurs dan hampir merapatkan jurang menerusi beberapa peluang, termasuk satu percubaan dari Casemiro.
Selepas tamat perlawanan, Bruno secara sukarela tampil ke media, di mana beliau menzahirkan penghargaan terhadap rakan sepasukan yang berusaha gigih walaupun terpaksa bermain dengan kekurangan seorang pemain.
“Saya telah meninggalkan rakan sepasukan dalam keadaan yang sukar. Saya sangat menghargai segala usaha mereka di atas padang kerana ia jauh lebih mencabar buat mereka,” kata Bruno yang dipetik daripada website rasmi Manchester United.
Bruno turut meluahkan rasa kecewa mengenai insiden yang menimpa beliau dan pasukan kerana baginya, layangan kad merah tersebut telah merencatkan corak permainan mereka.
“Tiada siapa yang suka dilayangkan kad merah. Perasaan sukar digambar melihat rakan sepasukan terpaksa bekerja keras dan mencuba sehabis baik untuk menjaringkan gol.
“Mereka telah berusaha sepenuhnya untuk mendapatkan keputusan yang lebih baik, tetapi malangnya kami melepaskan dua gol lagi,” tambahnya.
Selain itu, Bruno tidak bersetuju dengan keputusan pengadil untuk melayangkan kad merah susulan terjahan beliau ke atas pemain Spurs, James Maddison.
Menurutnya, dia tergelincir sebelum membuat cabaran tersebut, dan walaupun ada sedikit sentuhan dengan Maddison, tindakan tersebut tidak sepatutnya dikenakan hukuman seberat itu.
“Saya tidak mengasari seperti yang dilihat oleh orang ramai. Pergelangan kaki saya hanya terkena dia dan jelas satu kesalahan, tetapi bagi pandangan saya bukanlah kad merah,” tambahnya lagi.
Kekalahan ini pastinya memberikan tamparan hebat kepada United kerana mereka kini menduduki tangga ke 12 Liga dengan hanya mengumpul tujuh mata selepas enam perlawanan.
United kini perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan seterusnya di Estadio do Dragao, di mana mereka akan berdepan Porto dalam saingan Liga Europa pada 4 Oktober ini.