
Mykhaili Mudryk mohon maaf guna sindiran berbaur perkauman di TikTok

PENYERANG Chelsea, Mykhaili Mudryk telah memohon maaf kerana menggunakan sindiran berbaur perkauman di dalam akaun TikTok peribadinya yang dimuatnaik pada Julai 2022.
Pemain berusia 22 tahun itu yang baru sahaja menyertai The Blues pada Januari dengan yuran €89 juta Euro, dilihat membaca lagu rap dalam ruangan video yang telah dipadam.
“Mykhailo sangat menyesali kesalahan yang dilakukannya. Pada mulanya, dia hanya ingin membaca lirik lagu. Dia juga mengakui tindakannya adalah keterlaluan dan tidak wajar,” jelas jurucakap Ukraine.
Persatuan Bolasepak (FA) England telah menghantar sepucuk surat kepada kelab dan juga pemain tersebut untuk mengenalpasti kesalahan dalam insiden tersebut.
Kebajikan Anti Diskriminasi Kick It Out mengecam sekeras-kerasnya perkataan berbaur perkauman tanpa mengira sebarang konteks.
Penggunaan kata-kata sebegini oleh orang berprofil besar terhadap sukan bola sepak hanya akan menyebabkan lebih ramai orang menjauhkan diri dari sukan nombor satu dunia itu.