KEDAH Sunshine akhirnya berjaya memperolehi kemenangan pertama selepas empat perlawanan dalam Netball Super League (NSL) 2022 apabila menewaskan pasukan yang juga bergelut, Melaka Mystic 53-41 di Stadium Juara Bukit Kiara.
Meskipun kedua-dua pasukan gagal mencatatkan sebarang kemenangan pada tiga perlawanan awal, mereka mempamerkan aksi mantap tetapi bahagian serangan Sunshine lebih mantap menidakkan peluang Mystic.
Perubahan taktikal yang dilakukan Sunshine dengan menggunakan kedua-dua GA untuk mendapatkan mata berhasil apabila gandingan Aishah dan Syazwani cemerlang dengan peratusan ketepatan balingan yang tinggi.
Dalam satu lagi perlawanan, Perak Phoenix tewas kali kedua berturut-turut selepas bersaing sengit dengan Selangor Angels sebelum akur dengan keputusan 42-51.
Kecemerlangan Khairunnisa Nazri gagal memberikan kemenangan kepada Phoenix meskipun Angels dilihat sedikit kurang dari peratusan ketepatan jaringan tetapi tuah nyata memihak kepada anak buah Azizah Abu.
Pahang Tulips pula berjaya muncul pemenang dalam perlawanan yang cukup sengit apabila mengenepikan cabaran Negeri Sembilan Venom 50-46 pada aksi terakhir minggu pertama.
Kedua-dua pasukan bersaing hebat dengan statistik rasmi menunjukkan Tulips dan Venom saling berbalas serangan dan jaringan sebelum akhirnya Venom terpaksa akur dengan kehebatan Tulips.
Gandingan GS Tulips Maisarah Affandi dan Norashikin Zaman di dalam kawasan D sememangnya menjadi duri dalam daging buat Venom apabila mencatat 74 peratus ketepatan balingan.
Berakhir minggu pertama NSL 2022, KL Wildcats mendahului carta dengan sembilan mata dari tiga perlawanan diikuti Johor Jewels yang dibezakan peratusan jaringan manakala Angels, Tulips dan Phoenix masing-masing berjaya mengutip enam mata.
Tiga mata menjadi milik Venom dan Sunshine manakala Mystic masih kekal tanpa sebarang mata selepas empat perlawanan sekaligus menambah tekanan buat pasukan Melaka.
Lapan lagi perlawanan akan berlangsung untuk minggu kedua NSL yang dijadualkan pada Jumaat (10 Jun) dan Ahad (12 Jun) dengan masa yang semakin suntuk buat pasukan-pasukan di tangga terbawah liga.
Untuk rekod, dua pasukan terbawah NSL musim ini akan tersingkir dari liga dan akan digantikan dua pasukan baharu yang akan ditentukan oleh Persatuan Bola Jaring Malaysia.