NEGERI Sembilan Venom dan Pahang Tulips berjaya merakam kemenangan pertama musim ini selepas masing-masing menewaskan Kedah Sunshine dan Melaka Mystic pada perlawanan sebelah petang Netball Super League (NSL) di Stadium Juara Bukit Kiara.
Venom menewaskan Sunshine 57-39 sekaligus menyaksikan pasukan utara tanah air itu masih gagal meraih kemenangan selepas tiga perlawanan sekaligus menambah tekanan buat barisan kendalian Huslina Hussain.
Gandingan penyerang Venom nyata menjadi dalam perlawanan ini tetapi nasib berbeza buat penyerang Sunshine yang mencatatkan peratusan ketepatan balingan yang kurang baik sekaligus menyukarkan laluan Kedah Sunshine.
Nasib yang sama juga melanda Melaka Mystic yang juga tewas tiga perlawanan berturut-turut dalam aksi NSL kali ini kepada Pahang Tulips dengan keputusan 39-60.
Maisarah Affandi menjadi nadi kejayaan Tulips apabila menjaringkan 47 mata dari 56 percubaan manakala Melaka Mystic masih gagal menguasai bahagian tengah untuk melakukan sebarang kejutan.
Pada aksi pertama sebelah malam pula, pertemuan menarik antara dua pasukan yang masih belum tewas, Johor Jewels dan Perak Phoenix berakhir dengan kemenangan kepada Jewels dengan keputusan 66-42.
Gandingan An Najwa dan Athekah Ammalia nyata tidak dapat ditandingi barisan pertahanan Phoenix sekaligus terpaksa menerima kekalahan pertama mereka musim ini.
Perlawanan terakhir minggu pertama ini menyaksikan KL Wildcats masih mengekalkan rekod tanpa kalah apabila membenam Selangor Angels 55-40
Kedua-dua pasukan saling bersaing hebat sejak dari suku pertama namun gandingan serangan Wildcats nyata lebih ampuh untuk Angels terpaksa akur dengan kekalahan pertama mereka musim ini.
Selepas berakhir minggu pertama, hanya KL Wildcats dan Johor Jewels berjaya mencatat 100% kemenangan sekaligus menjanjikan persaingan sengit dari kedua-dua pasukan pilihan NSL musim ini.
Tiga lagi perlawanan akan berlangsung esok untuk melengkapkan minggu pertama NSL dengan Kedah Sunshine menentang Melaka Mystic, Perak Phoenix bertemu Selangor Angels manakala Pahang Tulips berhadapan Negeri Sembilan Venom.