Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan mencatat satu lagi pencapaian dalam pentadbiran sukan apabila disahkan memenangi jawatan Timbalan Presiden Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) tanpa bertanding bagi penggal baharu.

Kemenangan itu diumumkan ASTAF selepas tempoh penamaan calon bagi Mesyuarat Agung Pemilihan badan induk berkenaan berakhir pada jam 5 petang waktu Malaysia, semalam.

Sumali bukan satu-satunya individu yang memperoleh kemenangan tanpa perlu melalui proses pengundian apabila Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Thailand, Dr Srihassak Arrirachakaran turut memenangi satu lagi kerusi Timbalan Presiden tanpa dicabar.

Dalam perkembangan sama, Datuk Abdul Halim Kader juga bakal terus menerajui ASTAF sebagai presiden selepas hanya menerima satu pencalonan bagi jawatan nombor satu badan induk itu.

Bagaimanapun, persaingan bagi jawatan Naib Presiden dan Ahli Majlis Eksekutif masih terbuka apabila jumlah pencalonan yang diterima melebihi kerusi yang ditawarkan.

Pemilihan bagi melengkapkan barisan kepimpinan baharu ASTAF dijadual berlangsung menerusi Mesyuarat Agung Pemilihan di Bangkok pada 9 Disember ini.

Mengulas hala tuju kepimpinan seterusnya, Abdul Halim menegaskan keutamaan ASTAF adalah memperkukuh hubungan strategik dengan badan sukan antarabangsa, termasuk Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Majlis Olimpik Asia (OCA) dan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF).

Usaha itu dilihat penting bagi mempercepat proses mendapatkan pengiktirafan serta membuka lebih banyak ruang kepada sukan sepaktakraw untuk berkembang di peringkat global, termasuk merealisasikan impian disenaraikan dalam temasya Olimpik.

“Perjuangan kami belum selesai. Impian saya adalah melihat sepaktakraw dipertandingkan di pentas Olimpik. Kita mesti terus bersatu, bekerja lebih keras dan memastikan sukan ini berkembang secara profesional, berintegriti serta memenuhi piawaian antarabangsa,” kata Abdul Halim.

Beliau turut menekankan bahawa usaha membangunkan sepaktakraw memerlukan kesatuan semua pihak serta komitmen berterusan bagi memastikan sukan itu mampu mencapai standard yang ditetapkan di peringkat antarabangsa.