BAYANGAN pingat semakin menyerlah buat kontinjen negara apabila skuad obstacle race (perlumbaan berhalangan) beraksi cemerlang hari ini.

Pasukan berganti-ganti lelaki melangkah ke final selepas mencatat masa terpantas, mengatasi enam pencabar lain, manakala pasukan wanita pula akan beraksi pada penentuan gangsa, selepas menduduki tempat ketiga paling pantas antara empat pasukan bertanding.

Pasukan lelaki yang dibarisi Mohd Redha Rozlan, Yoong Wei Theng, Nuur Hafis Said Alwi, Ghalib Mohamad Azimi, bagai tergamam selepas hilang kelayakan pada larian pertama apabila dikesan false start.

Antara aksi pasukan lelaki perlumbaan berhalangan negara./Pix MSN

Mereka yang berada dalam situasi sukar itu bagai mendapat tonik pada larian terakhir mereka.

Kuartet itu bangkit dengan bergaya mencatatkan masa terpantas 25.62 saat (s) pada pusingan penyingkiran di Pusat Konvensyen Chrroy Changvar.

Pencapaian itu membolehkan pasukan lelaki ke final berdepan Filipina Ahad ini, selepas pasukan terbabit mencatat masa kedua pantas, 26.19s.

Tap.. pasukan lelaki perlumbaan berhalangan berganti-ganti negara./Pix MSN

Atlet berpengalaman, Mohd Redha berkata, rakan sepasukannya berjaya mengekalkan fokus pada larian terakhir yang bertukar menjadi misi hidup atau mati.

“Kami berjaya memperoleh 25.62s… kami menyasarkan untuk meningkatkan prestasi masing-masing dan cuba mengatasi catatan terbaik kami iaitu 24.4s namun kami hanya mempunyai satu larian selepas larian pertama bermasalah,” kata Mohd Redha.

Antara aksi pasukan lelaki perlumbaan berhalangan berganti-ganti negara./Pix MSN

Menurutnya, pada larian pertama, kesilapan dilakukan bukanlah kesilapan besar namun kami mengakuinya dari segi teknikal: “Saya memberitahu rakan sepasukan saya bahawa ia ok… kami mempunyai satu peluang dan kami perlu melakukan yang terbaik.

“Filipina adalah pencabar utama dalam perlumbaan berhalangan dan kami sebenarnya menjangkakan untuk bertemu Indonesia di final.”

Ujar Redha, tumpuan mereka tertumpu kepada pingat emas dan catatan terbaik peribadi mereka 24 saat, menjadi faktor kejayaan.

Mengulas mengenai Filipina, dia mengakui pasukan itu mungkin mempunyai kelebihan kerana mereka memiliki trek berhalangan yang ditetapkan mengikut standard kejohanan.

Antara aksi pasukan wanita perlumbaan berhalangan berganti-ganti negara./Pix MSN

“Kami tidak tahu apa catatan terbaik Filipina tetapi saya rasa 24 saat adalah masa yang sesuai untuk kami memenangi pingat emas. Kami kini hanya mahu memenangi pingat emas.

“Filipina memiliki set laluan berhalangan dan ia digunakan dalam Sukan SEA ini, pasti mereka mempunyai kelebihan. Kami tidak mempunyai set itu di Malaysia dan kami berlatih berdasarkan simulasi,” kata Redha

“Latihan kami adalah serupa dengan 60-70 peratus lapangan dan kami telah berlatih tiga minggu di Filipina pada bulan puasa jadi saya tidak fikir ia adalah halangan utama.”

Antara aksi pasukan wanita perlumbaan berhalangan berganti-ganti negara./Pix MSN

Sementara itu, kecederaan menghantui pasukan lumba berganti-ganti wanita negara yang akan menentang Kemboja pada penentuan pingat gangsa pada Ahad.

Ong Sher Lyn, Tan Sui Lin Renee, Wan Atirah Hidayah Ahmad Fuzli, Yip Hui Theng mencatat masa 3:12.98 untuk menduduki tempat ketiga terpantas pada pusingan penyingkiran itu.

Sementara itu, pasukan wanita Indonesia akan menentang Filipina dalam perlawanan akhir pingat emas.