Kredit Gambar: Paul Ellis/AFP

PERTAHANAN Sepanyol, Pedro Porro menyifatkan kejayaan membawa negaranya ke pentas final Piala Dunia 2026 sebagai detik paling bermakna dalam kariernya selepas membantu La Roja menewaskan Perancis 2-0 pada aksi separuh akhir, awal pagi tadi.

Pemain Tottenham Hotspur itu muncul antara watak penting kemenangan Sepanyol apabila meledak gol kedua pada babak kedua sekali gus mengesahkan kemaraan juara Eropah itu ke final.

Menurut Porro, kejayaan tersebut lahir hasil komitmen seluruh pemain yang mempamerkan persembahan cemerlang sepanjang 90 minit perlawanan.

“Saya sangat gembira dengan sikap yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan dari awal hingga akhir. Kami bermain dengan baik dan melakukan segala yang diperlukan untuk memastikan tempat ke final.

“Ini benar-benar satu impian yang menjadi kenyataan. Kami sedar Perancis merupakan pasukan yang sangat kuat dan memiliki ramai pemain berkualiti, tetapi kemenangan ini adalah hasil usaha seluruh pasukan, bukannya kejayaan saya seorang,” katanya.

Pada aksi di Stadium AT&T, Arlington, Sepanyol terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan penalti Mikel Oyarzabal sebelum Porro menggandakan kelebihan pada minit ke-58 untuk menamatkan cabaran juara dunia dua kali itu.

Pemain berusia 26 tahun itu turut memuji karakter yang dipamerkan rakan sepasukannya ketika berdepan tekanan daripada Perancis, sambil menyifatkan persembahan mereka sebagai antara yang terbaik sepanjang kejohanan.

“Kami menunjukkan aksi yang hebat. Semua pemain memberikan komitmen sepenuhnya dan itulah yang membolehkan kami menewaskan sebuah pasukan sehebat Perancis,” katanya.

Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Luis de la Fuente kini hanya selangkah lagi untuk menjulang trofi Piala Dunia, dengan mereka bakal menanti pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara England dan Argentina pada perlawanan akhir yang dijadual berlangsung awal pagi Isnin ini.