PERSATUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) terbuka dan bersedia untuk berunding bagi mengendalikan sukan angkat berat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2024, di Sarawak seperti yang diarahkan oleh Menteri Belia dan Sukan (KBS) Hannah Yeoh baru-baru ini.

Presiden PABM, Datuk Ayub Rahmat berkata, tanggungjawab bagi mengendalikan sukan tersebut sudah lama dilakukan namun berbeza pada Sukma 2022 kerana PABM memutuskan untuk menarik diri.

“Selama ini memang PABM yang kendalikan cuma tidak pada Sukma lepas kerana isu penganjur yang tidak hormati pendirian PABM.

“PABM sentiasa terbuka dan bersedia untuk berunding dan terima kasih kepada YB Menteri Hannah Yeoh yang faham tugas serta peranan persatuan sukan kebangsaan,” kata Ayub ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jelasnya lagi, PABM sentiasa menghormati keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN) namun beliau menegaskan untuk tidak memaksa badan induk angkat berat negara itu menerima keputusan yang menyalahi perlembagaan serta peraturan persatuan.

Gambar hiasan acara angkat berat Sukma.

Hal ini kerana, beliau menekankan sekiranya berlaku, apa yang akan terjadi kelak kesannya akan berbalik kepada persatuan sukan, MSN Negeri manakala penganjur pula mengambil sikap untuk lepas tangan.

“Saya yakin Majlis Olimpik Malaysia (MOM) faham dan hormat keputusan PABM dan kita menyanjungi usaha menteri serta MOM untuk meredakan situasi.

“PABM sentiasa bersedia berunding dan selama ini kita selalu bersedia namun pada masa sama perlu juga hormati keputusan dan pendirian PABM,” tambahnya lagi.

Terdahulu, PABM memilih untuk menarik diri bagi mengendalikan sukan angkat berat dalam Sukma 2022 susulan tiga atlet daripada dua negeri yang terlibat dengan isu doping.

Keputusan sukar itu terpaksa dilakukan PABM dengan mengikut ketetapan seperti yang diluluskan dalam Mesyuarat Agung Tahunan 2019 dan Mesyuarat Exco PABM yang menyatakan jika terdapat atlet positif doping maka penyertaan atlet dan juga atlet lain dalam ahli gabungan mahupun persatuan negeri yang ada di antara atletnya positif doping akan digantung daripada menyertai Sukma 2022.