KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) menegaskan kejohanan War Zone Championship yang dijadual berlangsung Disember ini di Nilai tidak mendapat kelulusan rasmi.

Dalam satu kenyataan yang diedarkan, KBS berkata: “Sebarang penganjuran acara sukan dengan penyertaan antarabangsa mesti mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PJS) seperti termaktub di bawah Akta Pembangunan Sukan 1997 [Akta 576].”

Kenyataan media dari Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

KBS turut mengingatkan penganjur supaya mematuhi undang-undang bagi menjamin integriti dan keselamatan sukan negara.

“Tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 36 Akta 576 terhadap mana-mana penganjur yang melanggar peraturan,” tegas kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Persekutuan Muaythai Malaysia (PMM) mengecam tindakan promosi kejohanan berkenaan yang disifatkan tidak beretika dan memalukan imej sukan.

“Nak buat drama promosi tiket terpulanglah, tapi jangan malukan nama sukan,” tegas PMM di laman Facebook rasminya.

PMM turut menegur tindakan pihak tertentu melibatkan kanak-kanak bawah umur dalam promosi bersifat tidak bermoral.