PASUKAN Pahang Rangers FC terus memperkukuh agenda pemodenan kelab menjelang saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2026 menerusi beberapa kerjasama strategik yang memberi fokus terhadap aspek logistik, perubatan dan kebajikan pemain.

Langkah itu dilihat selari dengan aspirasi Presiden kelab, YAM Tengku Fahad Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang mahu Pahang Rangers terus berkembang sebagai antara kuasa utama futsal negara.

Sebagai persediaan menghadapi musim baharu, kelab dari Pantai Timur itu memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Sanwa Tours dan Physio Hero bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengurusan pasukan.

Menerusi kerjasama tersebut, Sanwa Tours akan bertindak sebagai rakan logistik rasmi dengan menyediakan kemudahan pengangkutan bertaraf premium sepanjang kempen MPFL 2026.

Presiden Pahang Rangers, YAM Tengku Fahad Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah dan Ketua Pegawai Eksekutif Sanwa Tours, Zaid Sabit 

Pasukan itu bakal menggunakan bas baharu lengkap dengan teknologi keselamatan moden bagi memastikan perjalanan pemain dan pegawai pasukan lebih selesa serta selamat.

Ketua Pegawai Eksekutif Sanwa Tours, Zaid Sabit berkata, pihaknya percaya sukan seperti futsal mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat selain mampu menyatukan komuniti dan memberi inspirasi kepada generasi muda.

“Kerjasama ini mencerminkan komitmen kami untuk membantu memajukan ekosistem sukan tempatan bukan sahaja di dalam gelanggang tetapi juga menerusi sokongan profesional di luar gelanggang,” katanya.

Dalam masa sama, kerjasama bersama Physio Hero Kuantan pula akan memberi fokus terhadap aspek fisioterapi, pemulihan kecederaan dan penjagaan fizikal pemain sepanjang musim.

Pahang Rangers turut mengumumkan pelantikan tiga perunding perubatan rasmi bagi musim 2026 iaitu Dr Muhammad Harith Rosdi dari IIUM Sports Medicine Clinic serta Dr Md Azlan Abdul Rahman dan Dr Mugilan Chandran dari Klinik Pakar Perubatan Sukan Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Pengarah Sukan Pahang Rangers, Muhammad Syahir Ab Aziz berkata, transformasi pengurusan itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan kelab untuk membina struktur profesional yang lebih kukuh demi memastikan Pahang Rangers terus kompetitif di peringkat domestik dan antarabangsa.