SAINGAN musim liga MPL MY kini semakin mendebarkan apabila hanya tiga slot playoff masih berbaki untuk menjadi rebutan beberapa pasukan.

Setakat minggu ke-6, Selangor Red Giants Esports dan Team Rey sudah pun mengesahkan tempat ke playoff selepas mempamerkan aksi konsisten sepanjang musim.

SRG terus membuktikan status mereka sebagai antara pasukan terbaik liga apabila mengumpul rekod 10 kemenangan dan hanya satu kekalahan dengan 10 mata keseluruhan.

Sementara itu, Invictus Gaming turut berada dalam kedudukan selesa untuk melangkah ke playoff selepas mencatat tujuh kemenangan daripada 11 perlawanan.

Namun, perebutan sebenar kini tertumpu kepada beberapa pasukan pertengahan carta yang masih mempunyai peluang untuk merebut baki slot playoff musim ini.

Team Vamos dilihat berada di landasan terbaik dengan peluang kelayakan mencecah 96.4 peratus, manakala Bigetron MY by Vitality masih memiliki peluang cerah untuk mara.

Dalam masa sama, RRQ Tora dan AC Esports masih belum mengibarkan bendera putih walaupun peluang mereka semakin tipis menjelang baki minggu terakhir liga.

Berbeza pula buat Team Flash yang kini berada di ambang penyingkiran apabila hanya memiliki peluang tipis sebanyak 0.3 peratus untuk layak ke playoff.

Dengan hanya beberapa perlawanan berbaki, setiap kemenangan kini menjadi penentu utama sama ada sesebuah pasukan mampu meneruskan impian ke pentas playoff ataupun sekadar menamatkan musim lebih awal.

Sumber gambar: Instagram MPL MY