PERSATUAN Bola Sepak Palestin (PFA) menghormati keputusan Persatuan Bola Sepak Kuwait (KFA) yang memohon agar perlawanan Kelayakan Piala Dunia FIFA yang dijadualkan berlangsung di Palestin pada 15 Oktober depan dipindahkan ke venue baharu.
Pada awalnya, Kuwait bersetuju untuk bermain di Palestin, namun selepas mempertimbangkan keadaan semasa, mereka mengemukakan permintaan untuk menukar lokasi perlawanan. PFA memahami kerumitan keputusan tersebut dan menghargai komunikasi yang penuh hormat daripada rakan-rakan Kuwait yang selama ini menjadi penyokong setia perjuangan Palestin.
Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh PFA, mereka menekankan hubungan erat antara Palestin dan Kuwait yang terjalin atas dasar sejarah yang mendalam.
“Kami sangat menghargai sokongan saudara-saudara Kuwait yang sentiasa teguh bersama Palestin,” tulis PFA di laman sosial mereka.
Walaupun Palestin telah bersedia sepenuhnya untuk menjadi tuan rumah perlawanan di bumi sendiri, PFA menghormati kebimbangan yang disuarakan oleh Kuwait. Setelah persetujuan dicapai, perlawanan akan berlangsung di Doha, Qatar. Kedua-dua pihak optimis bahawa perlawanan tersebut akan berlangsung dengan adil dan kompetitif.
Namun, PFA menekankan bahawa keputusan ini adalah bersifat sementara dan berpunca daripada situasi semasa di Palestin, khususnya di Gaza yang sedang menghadapi pembunuhan beramai-ramai. PFA bertekad untuk melihat pasukan kebangsaan mereka kembali bermain di tanah air sebaik sahaja keadaan mengizinkan.
“Kami tetap komited untuk memastikan pasukan kebangsaan Palestin akhirnya dapat menganjurkan perlawanan di tanah air sendiri, khususnya di Jerusalem. Ini adalah hak kami dan kami akan terus memperjuangkannya dengan tekad dan semangat juang yang tinggi,” kata kenyataan itu.
PFA juga menegaskan bahawa keputusan ini tidak akan menjejaskan hubungan persaudaraan yang kuat dengan Kuwait, dan mereka yakin bahawa akan ada peluang di masa depan untuk bermain di Palestin, sekaligus mengukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua negara.
Perlawanan terakhir Palestin dalam Kelayakkan piala dunia 2026 tewas kepada Jordan 3-1 di gelanggang berkecuali di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras awal september lalu.