GANDINGAN penerjun Datuk Pandelela Rinong-Nur Dhabitah Sabri berjaya memperolehi pingat gangsa menerusi acara terjun 10m platform seirama wanita di Kejohanan Dunia, Budapest pada Khamis.
Kedua-dua penerjun handalan negara ini berjaya mengumpul 298.68 mata untuk meraih tempat ketiga diatas podium selepas layak ke final.
Ini juga adalah kejayaan ketiga Pandalela dalam acara terjun seirama selepas meraih gangsa bersama Cheong Jun Hoong pada 2017 dan berjaya membawa pulang pingat Perak pada 2019 bergandingan dengan Datuk Leong Mun Yee.
Acara ini dimenangi penerjun China, Quan Hongchan-Chen Yuxin yang mengumpul 368.40 mata manakala duo Amerika Syarikat, Delaney Schnell-Katrina Young berjaya mengatasi penerjun negara untuk pingat perak dengan kutiapan 299.40 mata.
Pandelela-Dhabitah mempamerkan aksi mantap pada final meskipun sekadari berkedudukan keenam ketika sesi kelayakan dan ini juga kali pertama kedua-dua mereka ini bergandingan dalam acara utama dunia sejak Sukan Komanwel 2014 di Glasgow.
Pingat gangsa ini juga adalah pingat ketujuh buat Pandalela di Kejohanan Dunia dan kedua untuk edisi tahun ini selepas meraih gangsa dalam acara 10m platform individu sebelum ini.
Bagaimanapun, ini adalah pingat pertama buat Dhabitah Sabri dan dia kelihatan sangat gembira dengan kejayaan ini dan sentiasa tersenyum ketika melakukan setiap terjunan.
Penerjun berusia 22 tahun itu meluahkan rasa gembiranya di laman sosial Twitter dengan ciapan “Saya tidak dapat menggambarkan perasaan saya ketika ini. Pingat Kejohanan Dunia pertama untuk saya. Terima kasih Pandalela.”
Pandalela membalas ciapan itu dengan menulis: “Opps, kita lakukannya sekali lagi”‘ beserta tanda emoji dan tanda pagar #PanDha yang menggambarkan pasangan tersebut.