KEJAYAAN skuad bola sepak negara layak ke pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar tahun depan diharap menjadi pemangkin mengangkat semula darjat Harimau Malaya ke tahap lebih tertinggi.

Dipimpin dari jurulatih asal Korea Selatan, Kim Pan-gon, pasukan negara seakan bangkit daripada tidur yang panjang apabila melakar kemenangan demi kemenangan positif walaupun terpalit kekalahan perit termasuk terbaru saingan Pestabola Merdeka baru-baru ini.

Justeru itu, bekas legenda, Bakri Ibni Abu Bakar, 69, menyambut baik jika khidmat Pan-gon dipanjangkan memandangkan memang terbukti membawa sisi perubahan arus drastik sejak membimbing Malaysia awal tahun lepas.

“Pertama kita kena kena faham dia datang dari negara mana. Pengalaman saya banyak berjalan di rantau ini. Bangsa Korea adalah bangsa yang agak berbeza bangsa kita.

“Mereka memang bangsa yang bekerja kuat. Daripada awal saya ada kata kemungkinan orang Korea (Pan-gon) ini boleh buat sesuatu sebab bakat Allah bagi kat kita.

“Tapi masalahnya kita tak nak jumpa orang yang betul-betul komited. Kita panggil orang daripada barat, turut cerita kosong sajalah.

“Sembang sajalah, last kali balik. Tapi bila kita engage dengan Korea, memang terbukti dan saya harap dia teruskan momentum itu hingga seterusnya,” katanya ditemui FLASH SUKAN dalam Majlis Pelancaran Pelan Strategik Fasa Kedua F:30 2023-2026 di Subang Jaya pada Sabtu.

 

Era Kim Pan-gon menyaksikan skuad Harimau Malaya berubah dimensi 100 peratus.

Pernah mewakili Malaysia dari 1972 hingga 1983 dan membantu negara layak ke Sukan Olimpik Moscow pada 1980, Bakri kelahiran Perlis menyatakan tiada sebab kukuh untuk pihak pengurusan FAM melengah-lengahkan kontrak baharu untuk Pan-gon.

“Setuju, kalau dia berjaya dan sambung lagi kontrak dengan pasukan kebangsaan. Kalau kita tak sambung, siapa pula kita nak ambil? Pandangan saya, teruskan dengan dia sajalah untuk kekal momentum permainan,” kata pemenang pingat emas Sukan SEA pada tahun 1977 dan 1979.

Mengulas mengenai pelan F:30 Fasa 2, bekas pemain skuad kebangsaan pada era 80-an itu melihat konsep blueprint diperkenal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memang kena pada masanya.

Bekas jurulatih pasukan Perlis, Bank Rakyat, JKR Perlis dan menjadi pembantu kepada Rahim Abdullah dalam pasukan kebangsaan pada 1991 gembira apabila program pembangunan dan akar umbi termasuk dalam matlamat F:30.

“Fasa pertama kita dah berjaya sebab tanpa perancangan yang sempurna agak sukar bagi mencapai matlamat. Jadi sekarang perancangan fasa yang kedua kita dapat teruskan lagi.

“Pokok pangkalnya, jangan lupakan kepada aspek peringkat akar umbi. Kalau kita tak melahirkan pemain yang berbakat tak boleh buat apa.

“Selama ini kita agak terkebelakang kalau memperkatakan pasal akar umbi, kita ketinggalan dengan negara lain macam Thailand. Negara jiran lebih relevan daripada kita dan kena belajar benda itulah. Jangan lupa grassroot adalah penting dalam setiap apa-apa sukan pun,” katanya.