KETUA jurulatih Harimau Malaya, Peter Clamovski menyeru penyokong bola sepak tanah air agar turut memberi sokongan penuh kepada skuad kebangsaan selepas menikmati kehangatan perlawanan Maybank Challenge Cup 2025 antara Manchester United dan ASEAN All-Stars malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Mengulas tumpuan luar biasa yang diberikan peminat terhadap kehadiran Red Devils, Clamovski mengakui status kelab gergasi itu sememangnya membawa aura tersendiri, namun mengingatkan bahawa esok adalah giliran Malaysia pula menunjukkan taring di pentas antarabangsa.

“Manchester United adalah kelab istimewa dan mereka memang patut dihormati. Mereka membawa jenama yang kuat dan sudah tentu menarik perhatian ramai,” kata Clamovski.

“Tetapi apa yang lebih penting, ia juga membawa tumpuan kepada bola sepak ASEAN dan kepada Malaysia sendiri. Ia satu penghormatan bila kelab bertaraf dunia seperti ini hadir ke sini. Saya harap rakyat Malaysia nikmati perlawanan malam ini… dan esok, tukar halaman baharu, turun ke Cheras untuk sokong negara anda.”

Clamovski yang kini dalam fasa akhir persediaan skuad kebangsaan untuk pertembungan Tier 1 menentang Cape Verde, menegaskan bahawa perlawanan tersebut bukan sekadar aksi persahabatan tetapi pentas membina identiti dan semangat sebenar pasukan negara menjelang tugasan kompetitif.

“Tak kira siapa yang turun, setiap pemain yang pakai jersi negara perlu berikan segalanya. Kami mahu persembahan pasukan yang kuat – di mana saja, dalam apa jua keadaan,” tambahnya.

Perlawanan Malaysia menentang Cape Verde dijadual berlangsung esok malam di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.