MALAYSIA tidak akan menutup pintu kepada sebarang cadangan penambahan acara sukan pada Sukan SEA ke-34 2027, dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan terbuka mempertimbangkan permintaan negara peserta.

Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia selaku tuan rumah tidak mempunyai halangan untuk menerima cadangan berkenaan, termasuk permohonan yang dikemukakan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto bagi menambah beberapa acara dalam temasya dwitahunan itu.

“Kita sokong kalau penambahannya, kita tidak harus menghalang,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Peringkat Kebangsaan 2026 di Litar Antarabangsa Sepang.

Bagaimanapun, beliau menegaskan sebarang cadangan penambahan perlu melalui proses sewajarnya dan tertakluk kepada ketetapan Persekutuan Sukan SEA (SEAGF), badan yang bertanggungjawab menentukan hala tuju temasya berkenaan.

Isu penambahan acara kembali menjadi perhatian selepas Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Erick Thohir mempersoalkan ketiadaan beberapa sukan Olimpik dalam senarai pertandingan Sukan SEA 2027, termasuk memanjat tembok, mendayung, bola tampar pantai, gusti dan bola baling.

Indonesia sebelum ini mengemukakan surat bertarikh 6 November yang diterima Kementerian Belia dan Sukan (KBS) pada 13 November lalu bagi memohon pertimbangan penambahan beberapa acara berkenaan.

Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari menjelaskan permohonan itu bukan ancaman boikot seperti yang dibimbangi sesetengah pihak, sebaliknya saluran rasmi untuk membawa cadangan penambahan acara ke peringkat pertimbangan.

Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) merangkap Presiden SEAGF, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria sebelum ini menjelaskan pemilihan 43 jenis sukan membabitkan 473 acara dibuat secara kolektif dengan persetujuan kesemua 11 negara anggota SEAGF.

Senarai asal yang bermula dengan 38 jenis sukan itu kemudian ditambah lima lagi sukan pada Julai lalu selepas melalui proses rayuan serta perbincangan bersama negara anggota, sekali gus menjadikan sebarang perubahan baharu perlu mengambil kira keputusan dan prosedur badan berkenaan.

Sukan SEA ke-34 dijadual berlangsung dari 18 hingga 29 September 2027 dengan Kuala Lumpur, Sarawak, Pulau Pinang dan Johor sebagai empat kluster penganjuran, manakala keterbukaan Anwar memberi ruang kepada negara peserta mengemukakan aspirasi masing-masing tanpa mengetepikan kuasa SEAGF dalam menentukan keputusan akhir.