Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) hari ini melancarkan FIFA Women’s Football Campaign 2026 menerusi program Sukan Untuk Gadis Remaja (SUGAR) sebagai inisiatif memperluaskan penyertaan wanita dan kanak-kanak perempuan dalam sukan bola sepak.
Majlis pelancaran yang berlangsung di SMK Putrajaya Presint 8 (1) disempurnakan oleh Pengarah Teknikal Bola Sepak Wanita FAM, Soleen Al-Zou’bi bersama Ketua Biro Pendidikan Perpaduan Putrajaya, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya (JPWPP), Haji Nadimin Abdul Aziz; Ketua Penolong Pengarah Unit Sukan JPWPP, Norshamizi Ismail; serta pengetua-pengetua sekolah menengah sekitar Putrajaya yang terlibat dalam program berkenaan.
Majlis pelancaran itu melibatkan penyertaan 90 murid perempuan berusia antara 13 hingga 16 tahun bersama 10 guru, dengan peserta dipilih mewakili setiap sekolah menengah di Putrajaya.
Program tersebut memberi peluang kepada para peserta untuk merasai pengalaman bermain bola sepak dalam suasana yang menyeronokkan dan inklusif, selain menggalakkan lebih ramai remaja perempuan menjadikan sukan itu sebagai sebahagian daripada gaya hidup aktif.
Pemilihan Putrajaya sebagai lokasi pelancaran mencerminkan komitmen FAM dan KPM untuk memastikan lebih ramai murid perempuan mendapat akses kepada aktiviti bola sepak serta peluang pembangunan di peringkat akar umbi.
Kempen FIFA Women’s Football 2026 telah mula dilaksanakan sejak Jun lalu dan akan berlangsung sehingga Oktober ini, melibatkan 16 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Perak, Johor, Perlis, Selangor, Pahang, Kedah, Sabah, Terengganu, Pulau Pinang, Melaka, Kelantan, Negeri Sembilan dan Sarawak.
Inisiatif itu selari dengan aspirasi FIFA dalam memperkukuhkan pembangunan bola sepak wanita di seluruh dunia, di samping membuktikan komitmen berterusan FAM dan KPM untuk membina ekosistem bola sepak wanita yang lebih inklusif, mampan serta berdaya saing.
Selain menggalakkan penyertaan dalam sukan, program berkenaan turut memberi penekanan terhadap pembangunan sahsiah peserta menerusi penerapan nilai keyakinan diri, disiplin, semangat berpasukan, kepimpinan dan kemahiran komunikasi.
Dalam masa sama, kempen itu dijangka menjadi platform penting untuk mengenal pasti bakat-bakat muda yang berpotensi diserap ke dalam program pembangunan akar umbi FAM.
Pendedahan awal di peringkat sekolah diharap dapat mengukuhkan laluan pembangunan pemain wanita negara sekali gus melahirkan lebih ramai pemain berbakat yang berpeluang mewakili negeri dan seterusnya menyarung jersi Malayan Tigress di pentas antarabangsa.