BERAKSI di Kejohanan Badminton Dunia 2025 tidak boleh dipersiakan begitu sahaja semata-mata kesusukan ranking yang rendah dan tidak dianggap pilihan. Sebaliknya Go Pei Kee-Teoh Mei Xing mahu mencipta kejutan pada penampilan sulung itu.
Pasangan ranking ke-18 dunia itu sedar cabaran getir yang menanti namun yakin persediaan rapi terutama dari aspek mental mampu memperbaiki kelemahan yang sering menghantui mereka sebelum ini.
Pei Kee yang bakal membuat debut di pentas berprestij itu menegaskan, tekanan bukanlah “sahabat” yang baik untuknya di gelanggang.

“Saya tidak fikir banyak sebab ini Kejohanan Dunia pertama saya, jadi fokus utama sekarang adalah latihan bagi mendapatkan keyakinan,” katanya, ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Rakan gandingannya, Mei Xing yang tampil kali ketiga pula mengakui kelemahan mental sering menjadi penghalang kerana mereka kerap gagal mempertahankan kelebihan mata sehingga ditewaskan lawan.
“Ya, memang itu fokus utama kami kerana banyak situasi sebelum ini berlaku sebab mental tidak cukup kuat, jadi kami sedang beri tumpuan penuh untuk perbaiki perkara itu,” kata Mei Xing.
Beregu itu mendapat bye di pusingan pertama bakal berdepan cabaran gandingan ke-19 dunia Bulgaria, Gabriela-Stoeva Stefanie di pusingan kedua sebelum berpeluang menentang Pearly Tan-M Thinaah di pusingan ketiga.