CABARAN beregu lelaki negara di Paris terhenti di pentas suku akhir apabila dua sandaran utama, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Aaron Chia-Soh Wooi Yik, ditunjukkan jalan keluar awal pagi tadi.

Wei Chong-Kai Wun yang diletakkan sebagai pilihan ketujuh, hampir mencipta kejutan ke atas gandingan nombor satu dunia dari Korea Selatan, Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Mereka bermula dengan langkah sumbang apabila kecundang 21-23 di set pertama, namun bangkit penuh semangat untuk merampas set kedua 23-21.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun hampir melakukannya namun Kim Eon Ho-Seo Seung Jae terlalu kuat.

Sayangnya, momentum kebangkitan itu tidak mampu dipertahankan hingga terpaksa akur tunduk 15-21 pada set penentuan yang memakan masa 69 minit.

Turun sebagai harapan terakhir, gandingan nombor dua dunia, Aaron-Wooi Yik pula gagal mengekang kebangkitan pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal dalam misi memburu kejuaraan dunia kali kedua.

Walaupun memiliki rekod kemenangan 11-3 sebelum ini, Aaron-Wooi Yik kaku dalam pertembungan kali ini sebelum menyerah 12-21, 19-21 hanya dalam tempoh 43 minit.

Kekalahan itu sekali gus menutup peluang beregu lelaki negara untuk terus mara di Paris dan kini sandaran negara terarah kepada Pearly Tan-M Thinaah (beregu wanita) serta Chen Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran).

Harapan kini jelas, hanya dua gandingan tersebut yang menjadi nadi perjuangan negara untuk memburu kejuaraan.