ARENA sukan tanah air bakal mencipta sejarah baharu apabila juara dunia dan pemain nombor satu pickleball, Ben Johns, mengesahkan penyertaan dalam kejohanan sulung PPA Tour Asia Malaysia Cup 2025 yang dijadual berlangsung dari 24 hingga 28 September di 9Pickle Setia Alam serta Setia City Convention Centre.
Kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai melebihi USD150,000 (lebih RM700,000) itu bukan sahaja menjadi jumlah terbesar dalam sejarah pickleball di Asia Tenggara, tetapi turut meletakkan Malaysia sebagai hab utama sukan yang semakin mendapat perhatian global. Kehadiran Johns, bintang berusia 26 tahun dari Amerika Syarikat, diyakini bakal melonjakkan lagi nilai penganjuran dan menarik minat peminat antarabangsa.
Pengerusi PANAS Group merangkap penganjur, Vincent Siow Wei Sern mengakui keterujaannya apabila Johns memilih Malaysia sebagai destinasi pertama untuk aksi kompetitif di Asia. Katanya, kehadiran nama besar itu umpama mimpi menjadi kenyataan buat komuniti pickleball tempatan, sekali gus membuka ruang buat negara mempelajari standard penganjuran dunia.

“Ben Johns sebelum ini hanya terbabit dalam aksi persembahan (exhibition), tetapi kali ini beliau akan benar-benar bersaing dalam kejohanan PPA Asia. Ini peluang emas bukan sahaja untuk peminat melihat bintang dunia beraksi, tetapi juga untuk bakat tempatan mengukur kemampuan di pentas tertinggi,” jelas Vincent.
Selain Johns, kejohanan ini turut dijangka menampilkan lebih 10 lagi pemain bertaraf dunia yang bakal diumumkan tidak lama lagi. Dengan pelbagai kategori termasuk perseorangan, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran, saingan kali ini dijangka sengit dengan penyertaan pemain profesional dan amatur dari rantau Asia.

Vincent turut menegaskan bahawa Malaysia mempunyai kelebihan tersendiri untuk menjadi tuan rumah. Faktor seperti kemudahan komunikasi, budaya mesra pelbagai bangsa serta kemampuan menganjurkan acara berskala antarabangsa dalam tempoh singkat menjadikan negara ini destinasi pilihan untuk siri jelajah Asia. Beliau sendiri menganggap perkembangan pesat pickleball di tanah air sebagai bukti kemampuan rakyat Malaysia menerima sukan baharu dengan pantas.
Malaysia Cup 2025 bukan sahaja akan menjadi pentas buat bintang dunia mempamerkan kehebatan, malah menjadi mercu tanda kepada aspirasi sukan negara yang semakin berani melangkah ke arena global. Dengan semangat penganjur, penyokong serta sokongan ekosistem yang kian kukuh, kejohanan ini diyakini mampu menjadi titik tolak kepada kebangkitan pickleball di rantau Asia.