PEMAIN-pemain skuad kebangsaan di Kejohanan Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 berpeluang untuk menarik perhatian pencari bakat Korea Selatan apabila kesemua perlawanan melibatkan Malaysia disiarkan secara langsung di stesen televisyen swasta Korea Selatan.

Perlawanan Malaysia bertemu Myanmar, Laos, Vietnam dan Singapura akan disiarkan secara langsung di stesen SBS dan SBS Sports sebagai tanda sokongan kepada Ketua Jurulatih, Kim Pan-gon.

Inilah perkara yang sering ditekankan oleh KPG sendiri ketika sidang media dimana dia mahukan kesemua muka baharu ini untuk memberikan aksi terbaik kerana bakat mereka mungkin dikesan pencari bakat Korea Selatan untuk bermain di Liga K.

Bakat-bakat yang dikesan ketika perlawanan kompetitif akan menjadi lebih tepat kerana pemain berada pada tahap tekanan tinggi di dalam perlawanan dan bukannya ketika sesi percubaan atau latihan.

Tidak dinafikan ada beberapa pemain kebangsaan yang mampu untuk bersaing di liga antarabangsa dan inilah kesempatan yang perlu digunakan oleh mereka terutama pemain muda untuk menunjukkan kemampuan mereka.

 

Skuad Harimau Malaya kini sudah berada di Yangon bagi menghadapi perlawanan pembukaan Kumpulan B menentang Myanmar dan kemenangan dalam perlawanan pertama sangat dituntut bagi memastikan semangat pemain lebih tinggi untuk menghadapi perlawanan kedua di tempat sendiri.

Malaysia akan bertemu Laos dalam perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan FAM mengesahkan sudah lebih 12,000 tiket terjual secara dalam talian dan angka itu dijangka terus meningkat menjelang hari perlawanan pada Sabtu.