KELIBAT pemain termahal dalam skuad Harimau Selatan bagi musim 2024/25, Jalil Elias dikesan sedang menjalani sesi kem latihan bersama pasukan kebangsaan Syria yang berpangkalan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu.

Menerusi semakan di laman Transfermarket, Elias ketika ini mempunyai nilai pasaran semasa iaitu €3 juta atau RM15 juta.

Syria, pasukan di ranking 91 dunia memilih Kyrgyzstan sebagai lawan pemanas badan sebelum mengharungi kempen Piala Asia 2023 dalam aksi yang berlangsung di Stadium Al-Maktoum pada Sabtu sebelum terbang ke Doha.

Pemain berusia 27 tahun itu berkemungkinan besar bakal diturunkan untuk menguji taring skuad Harimau Malaya dalam perlawanan persahabatan yang diaturkan diadakan pada 8 Januari di Qatar.

Dalam saingan Piala Asia nanti, Syria berada di Kumpulan B bersama Australia, Uzbekistan dan India.

Elias yang bakal beraksi dengan juara 10 kali Liga Super Malaysia musim 2024/25 sebenarnya menjadi perhatian peminat Johor Darul Ta’zim kerana hadir reputasi tinggi selepas mewakili kelab ternama, San Lorenzo di Liga Argentina.

Elias yang bermain di posisi tengah merupakan pemain Argentina-Syria juga pernah bermain dengan beberapa kelab dalam Liga Argentina lain seperti Newell’s Old Boys, Godoy Cruz dan Unión Santa Fe.