Select Page

“Pemain naif dan pengalaman jadi pemisah” – Teong Kim

“Pemain naif dan pengalaman jadi pemisah” – Teong Kim

KETUA Jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim tidak kecewa dengan corak permainan yang ditunjukkan oleh anak-anak buahnya tetapi kecewa dengan keputusan yang jelas menunjukkan kenaifan para pemain skuad The Boss Gaurus.

Teong Kim turut berpendapat semua pemainnya sudah menunjukkan aksi yang baik tetapi perbezaan dari sudut pengalaman jelas menjadi pemisah antara pasukannya dan Kuala Lumpur City.

Dalam perlawanan merebut Piala Menteri Wilayah Persekutuan pada Sabtu, Perak tewas 0-3 di tangan skuad kendalian Bojan Hodak menerusi jaringan Herlison Caion, Paulo Josue dan Giancarlo Gallifuoco.

 

Bekas pengendali NFDP (Program Pembangunan Bolasepak Negara) itu juga merasakan gol yang dilepaskan itu sangat mudah dan Perak tidak seharusnya kalah dengan margin yang besar meskipun rata-rata dibarisi pemain muda.

“Kalau ikut keputusan nampak pasukan seperti kurang baik. Jika penyokong yang tidak menonton perlawanan ini mereka akan jangkakan ianya adalah perlawanan yang mudah untuk KL City tetapi sebaliknya berlaku di dalam padang.

“Saya kecewa dengan keputusan ini kerana margin jaringan yang terlalu besar dan tidak sepatutnya berlaku. Tetapi saya tidak kecewa dengan corak permainan kami kerana banyak perkara positif dalam dilihat seperti cara bermain  yang menarik serta cuba mencipta peluang. Pemain sudah lakukan segalanya dari segi persembahan dan saya berterima kasih kepada pemain.

“Pengalaman sememangnya berbeza antara dua pasukan ini. Namun perlawanan ini memberi saya harapan untuk membina pasukan menjadi lebih matang dan tidak lakukan kesilapan yang sama sekali lagi kerana semua gol yang dilepaskan adalah atas sebab kenaifan pemain dan mereka perlu belajar supaya tidak mengulanginya lagi,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Teong Kim turun memuji pemain import tunggal yang diturunkan, Chinonso Obiozor yang menunjukkan aksi mantap tetapi masih gagal menjaringkan gol namun dia percaya pemain ini mampu menjadi penggempur utama pasukannya.

“Pemain import yang diturunkan bagus dari segi usaha cuma gagal menjaringkan gol. Saya percaya gol akan tiba dan saya akan beri dia masa kerana cara dia bermain sangat baik baik dan bersungguh-sungguh,” tambahnya.

Perak FC bakal memulakan cabaran Liga Super 2023 menentang Kedah Darul Aman FC di Stadium Perak dan perlawanan ini sudah pasti akan menjadi satu lagi medan ujian buat para pemain yang masih dalam fasa pembentukan pasukan.

 

 

Video Terkini

Loading...