PASUKAN KL City FC membuktikan semangat tinggi apabila bangkit secara dramatik untuk menyingkirkan Perak FC dan mengesahkan kemaraan ke suku akhir Piala Malaysia, meskipun berdepan defisit dua gol pada aksi pertama pusingan 16.

Beraksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, KL City tampil dengan misi wajib menang dan sejak awal perlawanan jelas memburu jaringan, berdepan Perak yang turun dengan disiplin pertahanan tinggi.

Pengendali KL City, Risto Vidakovic mengakui tugas itu cukup mencabar, namun menegaskan pemainnya sudah bersedia dengan pelan permainan yang jelas.

“Dari segi taktikal, mereka (Perak FC) sangat tersusun dan berdisiplin. Sangat sukar untuk menembusi pertahanan mereka kerana tiada ruang,” katanya.

Namun menurut Vidakovic, kunci kejayaan pasukannya adalah kesabaran dan variasi serangan yang dirancang lebih awal.

“Kami sudah berbincang dan saya beritahu pemain sebelum perlawanan, kita perlu terus melakukan serangan demi serangan dari pelbagai arah untuk mencipta ruang dan peluang,” jelasnya.

Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil apabila KL City menjaringkan tiga gol, termasuk jaringan penting pada masa tambahan, sekali gus menamatkan perlawanan dengan kemenangan agregat 3-2.

Vidakovic turut memuji mentaliti anak buahnya yang kekal fokus walaupun masa semakin mencemburui.

“Saya rasa pemain cukup sabar dan akhirnya kami memperoleh apa yang kami mahukan,” katanya.

Mengulas cabaran seterusnya, jurulatih berusia 57 tahun itu menyedari pertemuan suku akhir menentang Terengganu FC bakal menjadi ujian lebih getir, namun tetap optimis dengan kemampuan pasukannya.

“Walaupun Piala Malaysia tidak menawarkan tiket ke kejohanan antarabangsa, ia tetap penting. Kami mahu pergi sejauh mungkin dan sasaran kami adalah menjulang piala musim ini,” katanya, memberi isyarat jelas bahawa KL City belum mahu berhenti bermimpi.