Kuching City FC berdepan cabaran awal menjelang aksi Piala Sumbangsih menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) apabila lima tonggak utama tidak dapat diturunkan dalam pertembungan di Stadium Sultan Ibrahim, 21 Ogos ini.
Ketua jurulatih The Cats, Aidil Sharin Sahak mengesahkan lima pemain berkenaan ialah James Okwuosa, Ronald Ngah Wanja, Jerome Mpacko Etame, Rodney Celvin Akwensivie dan Jimmy Raymond.
Tiga pemain import, Okwuosa, Ngah Wanja dan Etame tidak dapat menyertai jelajah pramusim Kuching City di Chiang Mai, Thailand akibat masalah tertentu, sekali gus menjejaskan persiapan mereka menjelang aksi pembukaan musim manakala Rodney dan Jimmy turut tidak dapat membantu pasukan selepas mengalami kecederaan ketika menyertai kem Harimau Malaya dalam kempen ASEAN Hyundai Cup.
Aidil mengakui situasi itu menyebabkan persiapan pasukannya tidak berada pada tahap terbaik kerana tidak dapat menjalani pramusim dengan barisan lengkap.
“Dari segi persediaan, kita tidak berada pada tahap yang terbaik. Berlaku sedikit gangguan disebabkan beberapa pemain tidak dapat pergi ke Chiang Mai sebagai persediaan untuk pramusim kerana masalah visa,” katanya dalam sidang media pra-perlawanan.
Bagaimanapun, Aidil tetap mempunyai pilihan apabila Kuching City membawa masuk sembilan pemain baharu bagi menghadapi musim 2026/27, yang dilihat mampu mengisi kekosongan ditinggalkan lima tonggak utama tersebut.
Pertembungan dengan JDT bukan sahaja menjadi peluang buat Kuching City memburu trofi pertama musim ini, malah The Cats turut berdepan misi besar untuk mengekang usaha Harimau Selatan memburu rekod dunia 109 perlawanan liga tanpa kalah.
Aksi Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim itu dijadualkan berlangsung esok dan menjadi pembuka tirai saingan Liga Super Malaysia musim 2026/27.