KELANTAN Red Warrior FC (KRW FC) mengambil maklum keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menggantung keahlian Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) pada 21 Disember 2024.

Keputusan ini mengejutkan dan memberi impak besar kepada komuniti bola sepak Kelantan, khususnya para penyokong setia The Red Warriors.

Presiden KRW FC, Nik Hafiz Naim Nik Hassan menegaskan insiden ini tidak akan menggugat komitmen kelab untuk terus bersaing dalam arena bola sepak tempatan.

Malah, pihaknya telah terlebih dahulu menjalinkan kerjasama erat dengan KAFA dan mengemukakan permohonan rasmi kepada Malaysian Football League (MFL) untuk bertanding dalam Liga Amatur sebelum tarikh penggantungan tersebut.

“KRW FC ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak KAFA, terutamanya kepada Datuk Seri Afandi Hamzah selaku Presiden KAFA, serta seluruh kepimpinan KAFA yang telah memberikan sokongan penuh kepada Kelantan Red Warrior FC.

“Sumbangan dan dedikasi mereka amat kami hargai dalam memastikan kelangsungan bola sepak Kelantan,” menurut kenyataan kelab itu di media sosial rasmi pada Isnin.

Penyokong KRW FC diseru untuk terus berdiri teguh di belakang pasukan dalam menghadapi cabaran ini.

KRW FC percaya bahawa dengan semangat dan sokongan padu daripada seluruh komuniti, bola sepak Kelantan mampu kembali bangkit dengan lebih gemilang.