SEBAGAI atlet berprestasi tinggi, apakah agaknya petua seseorang itu kekal berpuasa dan bertenaga di bulan Ramadan ini.
Tanpa perlu ‘ponteng’ puasa, jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang berkongsi rahsia pemakanannya ketika bersahur bagi membekalkan tenaga yang cukup dan tahan lapar sepanjang hari.
Menerusi perkongsiannya di Facebook dua hari lalu, Azizulhasni berkongsi resipi sahur melalui rakaman video ala “Khairul Aming” atau content creator pemakanan sihat lain.

Perkongsian Datuk Azizulhasni Awang mengenai resipi bersahur.
Dalam video berdurasi 30 saat, pemenang pingat gangsa Olimpik Rio dan perak Olimpik Tokyo itu berkongsikan resepi pemakanan oat dengan kombinasi beberapa buah seperti strawberry, blueberry dan susu segar.
“Sebagai seorang atlet, saya amat menitikberatkan setiap makanan yang masuk dan keluar dari tubuh badan saya. Pemakanan yang tidak seimbang boleh memberikan impak yang besar kepada prestasi secara langsung mahupun tidak langsung.
“Akan tetapi sebagai seorang manusia biasa, apabila dijamukan masakan tradisi Malaysia, saya tidak lari untuk menjamah sesuap dua bagi merasa keenakkan makanan tersebut. Kata kunci disitu adalah kesederhanaan.

Skuad berbasikal negara berada di Mallorca, Sepanyol, menjalani latihan di Veledrome Illes Balears. – Pix FB Azizulhasni Awang
“Asas untuk pemakanan yang sihat adalah kesederhanaan. Samada dari segi cara memasak, kuantiti bahan yang digunakan mahupun jumlah makanan yang dimasukkan ke tembolok kita.
“Air masak kosong yang bagus untuk kesihatan itu pun jika di minum terlampau banyak melampaui batas juga boleh membawa kemudaratan,” kata Azizulhasni yang ketika ini sedang menjalani latihan di Mallorca, Sepanyol.
Menurutnya, dia dan pasukan basikal trek negara masih menjalankan latihan dalam bulan Ramadhan di Sepanyol yang memaksa atlet beragama Islam berpuasa selama hampir 15 jam.

Puasa tu puasa juga, latihan dijallankan seperti biasa di Mallorca, Sepanyol. – Pix FB Azizulhasni Awang
“Untuk mereka yang tak tahu, latihan masih di jalankan seperti biasa untuk saya dan pasukan lumba basikal trek Malaysia walaupun di bulan Ramadhan. Cumanya, sudah tentu ada sedikit ubah suai ke atas program latihan dan waktu untuk berlatih.
“Sekarang kami semua berada di Mallorca, sebuah pulau negara Sepanyol di perairan Mediterranean, menjalani kem latihan untuk perlumbaan di sekitar Eropah.
“Puasa di sini mengambil masa selama lebih kurang 15 jam dengan keadaan cuaca yang mempunyai matahari panas tetapi dengan angin yang sejuk.
“Suhu minimum sekitar 8 celcius dan maximum mencecah 25 celcius dan masyarakat tempatan mengatakan sekarang adalah ‘the best season of the year’,” tambahnya.