KETUA Jurulatih Penang FC, Zainal Abidin Hassan mahukan kemenangan dalam aksi bertemu Sarawak United FC pada Ahad kerana ianya sangat penting buat pasukannya untuk memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Zainal juga mahukan tiga mata penuh untuk membina momentum dan semangat sebelum berdepan dengan Johor Darul Ta’zim dalam aksi separuh akhir Piala FA minggu depan.

Walaupun kehilangan kapten pasukan, Akmal Rokisham dan Endrick Dos Santos yang tercedera, Zainal tetap yakin dengan kemampuan skuadnya untuk mencatat kemenangan selepas mengharungi dua kekalahan dalam liga.

Zainal Abidin Hassan

“Perlawanan esok sangat penting demi maruah dan kedudukan liga. Sarawak United hanya tiga mata di atas kami, jadi untuk kita memperbaiki kedudukan, tiga mata adalah penting.

“Kedua kami mahu mengembalikan maruah pasukan selepas tewas dua kali kepada Selangor dan Melaka serta ianya juga untuk membina semangat dan keyakinan kepada pemain menjelang aksi bertemu JDT dalam Piala FA.

“Jika kita tidak dapat tiga mata dalam perlawanan esok, pastinya sukar untuk kita memperbaiki kedudukan dan semua pemain dituntut untuk memberikan aksi terbaik kerana kita bermain di hadapan penyokong sendiri.

“Saya tidak nafikan kita kehilangan beberapa tonggak akibat kecederaan namun para pemain lain mampu mengisi kekosongan itu sekaligus membuktikan kemampuan mereka jika terpilih dalam kesebelasan utama,” katanya ketika ditemui FLASH SUKAN pada sesi latihan pasukan.

Penang FC kini di tangga terbawah liga manakala Sarawak United hanya satu tangga diatas dengan perbezaan hanya tiga mata dan pertemuan esok pastinya boleh membawa perubahan dalam carta liga.