KELAB Liga M3, Respect FC (RFC) menerima suntikan tonik tambahan apabila bakal mendapat penaja baharu dalam memantapkan kembali skuad itu pada musim akan datang.

Sebentar tadi berlangsung majlis pengenalan pihak SRAM-MRAM Group yang bakal mengambilalih kelab berasal dari Ipoh, Perak.

Penaung RFC, Datuk Seri Dr S.K Devamany berharap segala permasalahan termasuk hutang gaji pemain yang berlaku dalam kelab dapat diselesaikan sebaik sahaja selesai pengambilalihan RFC oleh penaja baharu.

“Mereka akan bagi sumbangan cukup besar membina, membantu dan menjadikan kelab ini bukan saja terkenal di peringkat nasional tapi antarabangsa.

“Sebelum ini kita dengar Johor Darul Ta’zim (JDT) pasukan hebat, selepas ini RFC akan jadi kelab disegani dan datang dari Perak,” katanya dalam sidang media pengenalan penaja baharu Respect FC di Stadium Perak, Ipoh pada Sabtu.

RFC ditubuhkan pada 3 September 2021 dengan visi untuk menjadikan bola sepak sebagai asas perpaduan dan dimiliki oleh Soccer Empire Sdn. Bhd sebuah syarikat yang menyediakan perkhidmatan perundingan berhubung dengan sukan, mengendalikan kelab bola sepak serta peniaga am dan perniagaan runcit lain.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif SRAM-MRAM Group, Dr Hemalata Arumugam dan Pengarah Pentadbiran Global SRAM-MRAM, Nigel Jones serta Pengarah Eksekutif Soccer Empire, R Surendran.

RFC kini berada di tangga ketujuh Kumpulan B Liga M3 selepas mengumpul 18 mata, ketinggalan tiga mata di belakang Perlis United yang menduduki tempat keempat (slot ke suku akhir).