Select Page

“Perlawanan sebelah petang tambah motivasi pemain” – Solari

“Perlawanan sebelah petang tambah motivasi pemain” – Solari

KETUA Jurulatih dan Pengurus Johor Darul Ta’zim (JDT), Esteban Solari tidak mempunyai masalah untuk beraksi pada sebelah petang dan dia melihat ada satu faktor yang berjaya meningkatkan lagi motivasi para pemain.

Perlawanan JDT dan Kelantan FC di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Sabtu berlangsung pada sebelah petang selepas Malaysian Football League (MFL) memperkenalkan waktu sepak mula baharu untuk musim Liga Super 2023.

Perkara ini walaupun pada awalnya mendapat kritikan daripada penyokong tetapi selepas beberapa perlawanan dilangsungkan, ianya seakan menjadi ‘instant hit’ buat para penyokong kerana berasa lebih selesa dan mesra keluarga.

Suasana sebelah petang di Stadium Sultan Ibrahim

Ini yang dapat dilihat oleh Solari yang menyatakan perlawanan petang berjaya menarik lebih ramai keluarga ke stadium dan ia juga menjadi faktor semangat tambahan buat pemain yang melihat lebih ramai ahli keluarga mereka hadir untuk memberikan sokongan.

“Cuaca panas dengan suhu yang tinggi sedikit menggangu terutama ketika sesi pemanasan badan tetapi ianya tidak menjejaskan aksi ketika di dalam padang kerana semua pemain adalah profesional yang boleh beraksi pada waktu petang ataupun malam.

“Bagi saya ianya waktu sepak mula yang baik untuk keluarga datang ke stadium dan dapat dilihat ianya berjaya menaikkan motivasi para pemain apabila melihat lebih ramai keluarga dan anak kecil yang hadir untuk menyokong mereka,” katanya ketika ditanya FLASH SUKAN tentang keadaan ini.

 

Dalam perlawanan itu, lebih 24,000 penyokong membanjiri stadium dengan pemerhatian FLASH SUKAN juga mendapati ramai penyokong yang mengambil kesempatan meluangkan masa membawa keluarga dan anak-anak untuk menonton perlawanan bola sepak.

Aktiviti berkeluarga ini jelas satu perkembangan yang positif buat bola sepak tempatan untuk memupuk minat menyokong dikalangan para peminat terutama kanak-kanak dan remaja.

Harimau Selatan berjaya menewaskan Kelantan 5-1 untuk menjadikan petang yang cukup indah buat para penyokong yang hadir ke stadium pulang dengan senyuman.

Video Terkini

Loading...