JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mahu lawan mereka di Piala Sumbangsih 2024, Selangor FC memikirkan semula keputusan mereka tidak hadir dan mempercayai jaminan keselamatan yang telah diberikan oleh pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM).
Menerusi kenyataan media dari Ketua Pegawai Eksekutifnya, Alistair Edwards yang dimuatnaik laman sosial rasmi JDT, Harimau Selatan juga tidak mahu tindakan yang diambil Selangor FC ini akan menjadi penyebab pasukan-pasukan lain untuk turut menarik diri atas alasan keselamatan meskipun sudah diberikan jaminan.
“Kami maklum dan kecewa dengan keputusan Selangor FC untuk tidak hadir ke perlawanan Liga Super Malaysia dan Piala Sumbangsih pada hari Jumaat ini meskipun telah diberikan jaminan oleh Ketua Polis Negara dan Ketua Polis Johor bahawa keselamatan pasukan, pemain dan penyokong merupakan keutamaan dan pihak polis akan menggandakan kehadiran dengan 1,500 anggota.
We are aware and disappointed of Selangor FC’s decision to withdraw from Friday’s Malaysia Super League and Charity Cup match despite the assurance from the Inspector General of Police and the Johor Chief Police that safety of the teams, players and fans will be the utmost… pic.twitter.com/zZ7m8aY26k
— JOHORSouthernTigers (@OfficialJohor) May 8, 2024
“Kami sememangnya mengutuk keras insiden yang melibatkan Faisal Halim dan juga ancaman yang diterima oleh beberapa individu di Selangor FC tetapi kami berharap agar Selangor FC dapat mempertimbangkan semula keputusan untuk tidak hadir dari perlawanan ini kerana ianya boleh menetapkan ‘precedent’ untuk mana-mana pasukan menarik diri kerana berasakan tidak selamat meskipun mendapat jaminan daripada Polis DiRaja Malaysia.
“Kami pernah diserang dalam keadaan yang ‘hostile’ di Pahang, Perak dan Kelantan sebelum ini tetapi kami masih ke gelanggang lawan dan bermain dalam perlawanan yang dikawal ketat pihak polis. Selangor tidak pernah diserang di Stadium Sultan Ibrahim. Malahan pasukan dan penyokong mereka dikawal oleh polis ke dalam stadium dan sehingga ke bas dalam perlawanan-perlawanan sebelum ini.
“Meksipun kejadian baru-baru ini yang menimpa Akhyar Rashid, Faisal Halim dan Safiq Rahim membimbangkan, kita perlu meletakkan kepercayaan kepada pihak berkuasa bukan hanya untuk menyiasat kes-kes ini tetapi juga untuk menjaga keselamatan dan memastikan musim bola sepak 2024-25 berjalan lancar,” tulis kenyataan itu.
Terdahulu Selangor FC telah memuat naik hantaran menyatakan mereka terpaksa membuat keputusan yang sukar untuk tidak hadir ke perlawanan Piala Sumbangsih atas alasan keadaan semasa yang tidak menentu.
Ini susulan keputusan pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) yang menolak rayuan Selangor FC untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih yang juga bertindak sebagai aksi pembukaan Liga Super Malaysia 2024-25.