PENYERANG baharu DPMM FC, Syafiq Ahmad, melihat kehadiran penyerang warisan dalam skuad kebangsaan bukan sebagai ancaman, sebaliknya sebagai kelebihan untuk meningkatkan kekuatan Harimau Malaya.

Menurut Syafiq, saingan di posisi serangan perlu dilihat dari sudut positif kerana ia mampu memacu prestasi setiap pemain ke tahap yang lebih tinggi. “Bagi saya, ia satu kelebihan untuk pasukan kebangsaan.

Kami perlu bersaing secara sihat dan ia membantu saya untuk lebih bersedia memberikan yang terbaik. Untuk membantu pasukan, kita memerlukan pemain yang bagus,” katanya.

Tambah bekas penyerang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, persaingan antara pemain tempatan dan kacukan harus dijadikan motivasi untuk terus bekerja keras demi memastikan barisan serangan negara sentiasa tajam di pentas antarabangsa.

“Dari sudut pemain tempatan, kita perlu bersaing dan tidak mudah mengalah,” ujarnya yang pernah meledak gol penting buat Harimau Malaya sebelum ini.

Syafiq kini memberi tumpuan kepada penyesuaian bersama DPMM FC dalam saingan Liga Super, namun tetap bertekad memastikan prestasinya konsisten agar kekal menjadi pilihan utama dalam skuad kebangsaan.