MENTERI Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu membangunkan sukan bola sepak wanita di negara dan keluar daripada stereotaip bahawa golongan wanita tidak sesuai dengan acara ini.

Untuk memastikan ianya berlaku, Hannah juga mahu membantu usaha pembangunan sukan ini dari sudut infrastruktur dan juga peruntukan selepas mendengar sendiri cabaran yang dihadapi pasukan bola sepak wanita kebangsaan.

 

 

“Ini kali pertama saya bersama mereka untuk latihan dan mendengar cabaran pasukan wanita dan saya mahu dalam tempoh lima tahun ini usaha pembaikan dari segi instrastuktur dan peruntukan untuk bantu mereka.

“Yang paling penting mereka diberi peluang untuk menunjukkan prestasi dan kemahiran mereka supaya bola sepak dan wanita ini tampak sinonim.

“Kita mahu buang stereotaip yang mengatakan bola sepak tak sesuai dengan wanita,” kata Hannah ditemui ketika melakukan lawatan sesi latihan terakhir skuad Malayan Tigress B-20 yang akan terbang ke Kemboja pada Rabu bagi menghadapi kelayakan Piala Asia Wanita B20 2024 bermula 8 Mac ini.

Dalam masa yang sama, Hannah turut menyentuh isu penajaan yang membelenggu skuad wanita ketika ini.

“Semua sukan dinilai oleh penaja berdasarkan sokongan daripada penyokong. Untuk menarik sokongan penyokong, anda perlu meningkatkan prestasi namun ianya memerlukan dana jadi ini adalah situasi ayam dan telur.

“Atas sebab itu saya percaya apabila anda ingin memerlukan sesuatu seperti ini dimana ada halangan yang menggangu, bantuan daripada kerajaan diperlukan untuk perkembangan di peringkat permulaan.

“Bukan sahaja kerajaan, saya juga percaya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) juga mempunyai peranan untuk membantu skuad wanita dan juga setiap kerajaan negeri serta penaja korporat. Pasukan wanita bekerja keras untuk mendapatkan penajaan dan saya sebagai wakil kerajaan, akan membantu mereka dengan segala bantuan yang mereka perlukan,” tambahnya.

 

Hannah juga berkata ini bertepatan dengan sambutan Hari Wanita Antarabangsa yang akan disambut pada 8 Mac dan dia mahu semua wanita di Malaysia tahu bahawa mereka perlu diberi peluang untuk berjaya dalam bola sepak.

Dalam perkembangan yang sama, FAM telah mengumumkan 20 pemain yang akan membawa cabaran Malaysia ke Kemboja di kelayakan Piala Asia Wanita B20 2024 bermula 8 Mac ini.