MALAYSIA mengukuhkan reputasinya sebagai penganjur bertaraf dunia menerusi kejayaan menganjurkan Kursus Elite National Commissaires (ENC) 2025 bagi acara basikal bukit, anjuran Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Kursus itu disertai barisan pegawai dari 14 negara, sekali gus membuktikan keyakinan UCI terhadap keupayaan Malaysia dalam menganjurkan kursus bertaraf antarabangsa.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Amarjit Singh Gill berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kursus ini bagi rantau Asia, menjadi satu penghormatan dan bukti kepercayaan UCI terhadap kecekapan PKBM dalam memastikan kelancaran penganjuran acara ini.

“Malaysia sentiasa menjadi pilihan UCI bagi penganjuran Kursus ENC, yang menunjukkan kepercayaan tinggi mereka terhadap pentadbiran PKBM,” katanya, dalam satu kenyataan rasmi.

Malaysia mencatatkan penyertaan tertinggi dengan menghantar empat orang komisar ke kursus terbabit, diikuti Indonesia dan Filipina yang masing-masing menghantar dua wakil.

Negara lain yang turut serta termasuk China, Iran, Uzbekistan, India, Hong Kong, Thailand, Oman, Nepal, Mongolia, Brunei, dan Kemboja.

ENC merupakan kursus komisar di peringkat pertengahan antara komisar antarabangsa (IC) dan komisar kebangsaan (NC), dengan semua peserta perlu mendapat pengiktirafan daripada UCI.

Amarjit, yang juga Ahli Jawatankuasa Eksekutif UCI dan Naib Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (kini Presiden baharu ACC), berkongsi bahawa penyelaras UCI, Jeremy Christmas dari New Zealand, memberikan maklum balas yang sangat positif mengenai penganjuran kursus ini di Malaysia.

Presiden PKBM, Datuk Amarjit Singh Gill yakin UCI percaya kepada kemampuan Malaysia.

“Jeremy memberikan ulasan yang baik kepada Malaysia. Ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana PKBM memiliki kepakaran bertaraf dunia dalam menganjurkan kejohanan dan kursus UCI,” katanya.

Selain UCI, Malaysia juga mendapat pengiktirafan daripada ACC ketika menjadi penganjur Kejohanan Lumba Basikal Asia 2023 (ACC 2023).

Negara ini sekali lagi akan menjadi tuan rumah ACC 2025 yang akan berlangsung di Velodrom Nasional, Nilai, Seremban, Negeri Sembilan dari 21 hingga 27 Februari tahun depan.

Sepanjang kursus lima hari yang diadakan pada penghujung bulan lalu, semua komisar perlu melalui peperiksaan bertulis dan lisan.

Amarjit, yang juga Setiausaha Agung Persekutuan Berbasikal ASEAN (ACF), berharap keempat-empat komisar Malaysia berjaya meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan Kursus ENC 2025, sekali gus mengukuhkan kehadiran Malaysia di pentas antarabangsa dalam sukan berbasikal.