PENTAS akhir KL Fight League 2024 bakal menyaksikan pertarungan sengit antara jaguh Muay Thai Negeri Sembilan, Mohammad Adib Mohammad Ramlee dengan Zul Fadlee dari kelab Fighter Den.
Dua petarung yang akan bersaing dalam kategori Pro League 57-60 kilogram (kg) di Stadium Titiwangsa pada Ahad ini, dengan kejuaraan dan tali pinggang menjadi rebutan.
Pertarungan yang dijangka sengit itu turut diselit ‘perang psikologi’ apabila kedua-dua petarung melaungkan amaran awal untuk menamatkan perlawanan melalui kemenangan knockout (KO).
Menurut Zul Fadlee, dia telah meningkatkan intensiti latihan sebagai persediaan menghadapi perlawanan akhir ini.
“Dari segi latihan, saya meluangkan lebih banyak masa. Jika sebelum ini saya berlatih selama tiga jam, kini ia ditingkatkan kepada empat jam. Saya juga sudah bersedia dengan strategi permainan yang lebih tangkas dan agresif. Sasaran saya adalah untuk menang melalui KO,” katanya penuh yakin.
Namun, Adib yang lebih junior tidak gentar dengan cabaran Zul Fadlee meskipun menyedari kelebihan pengalaman dan fizikal yang dimiliki lawannya itu.
Baginya, latihan berintensiti tinggi yang dijalankan selama tiga bulan sudah cukup untuk memberikan prestasi terbaik pada perlawanan itu.
“Dia nak KO saya, itu tidak mengapa. Semua orang ada impian masing-masing. Tapi, saya yakin dengan persiapan saya. Saya sudah beri yang terbaik dan kini hanya menunggu masa untuk membawa pulang tali pinggang ke Negeri Sembilan. Kita tunggu siapa yang lebih hebat nanti,” ujar Adib.
Pengalaman menentang Aliff Rakib yang pernah beraksi dalam One Championship, pada Temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 juga dianggap sebagai persediaan penting, memandangkan lawannya itu memiliki kelebihan fizikal serupa dari segi ketinggian.
KL Fight League 2024 dijadual berlangsung dari 6 hingga 8 Disember ini. Tiket berharga RM25 dikenakan untuk menonton semua acara dari pagi hingga malam, dengan kanak-kanak di bawah 12 tahun diberikan kemasukan percuma. Pembayaran tiket hanya diperlukan pada hari Sabtu dan Ahad.
Secara keseluruhannya, sembilan pertarungan dalam pelbagai kategori berat dari 51kg hingga 70kg akan berlangsung sepanjang kejohanan ini. Pertarungan akhir ini dijangka menarik perhatian ramai peminat sukan Muay Thai tempatan.