PEMEGANG rekod kebangsaan acara 100 meter (m) lelaki, Muhammad Azeem Fahmi perlu berada di Amerika Syarikat (AS) sebelum pertengahan Januari, untuk melapor diri di Universiti Auburn, AS.

Azeem ketika dihubungi berkata, dia lega kerana akhirnya pemilihan universiti selesai.

Menurutnya, dia perlu melakukan pelbagai persiapan sebelum ke sana namun tarikh sebenar bertolak ke negara Uncle Sam itu belum diputuskan.

Saya berharap apa yang saya lakukan sekarang, membuka mata atlet muda negara untuk terus berusaha dalam sukan dan juga pelajaran. -Muhammad Azeem Fahmi

“Mungkin saya bertolak sekitar 12 Disember ini hingga 10 Januari tahun hadapan, kerana saya perlu berada di sana sebelum 10 Januari,” kata Azeem ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Gembira apabila permohonannya melanjutkan pelajaran ke AS, dalam masa sama mengasah bakatnya dalam acara pecut,  dia yakin Universiti Auburn adalah destinasi tepat.

Bekas pemegang rekod dunia 100m lelaki, Leroy Burrell menjadi tarikan Muhammad Azeem Fahmi melanjutkan pelajaran di Universiti Auburn.

Universiti itu mempunyai ketua jurulatih olahraga berpengalaman, Leroy Burrell, pemenang pingat emas Olimpik Barcelona 1992, Kejohanan Dunia 1991 (Tokyo) dan 1993 (Stuttgart) dalam acara 4x100m serta pemenang pingat perak 100m Kejohanan Dunia 1991 di Tokyo.

Burrell memegang rekod dunia 100m kali pertama pada Jun 1991 dengan catatan 9.90 saat (s), sebelum Carl Lewis melebur rekod itu pada September tahun sama dengan 9.86s.

Pada Julai 1994, Burrell sekali lagi memecahkan rekod dunia apabila berlari 9.85s, jadi amat jelas mengapa Azeem mahu berada di Universiti Auburn.