PASUKAN Malaysia mencatat kemenangan pertama di bawah kendalian sementara Pau Marti Vicente apabila berjaya menewaskan Filipina 2-1 dalam aksi separuh akhir kedua Pestabola Merdeka 2024.
Dengan kehadiran penonton lebih kurang 3000 orang ke Stadium Nasional Bukit Jalil, ia tidak menjejaskan rentak permainan Harimau Malaya yang turun dengan barisan terkuat.
Terlebih dahulu pasukan Filipina melancarkan serangan seawal 24 saat apabila kesilapan yang dilakukan oleh Matt Davies hampir memberikan The Azkals gol pendahuluan namun percubaan Dylan Demuynck tepat ke penjaga gol.

Daniel Ting merebut bola di udara bersama pemain Filipina, Paul Tabinas
Daniel Ting hampir membuka akaun jaringan perlawanan pada minit ke-8 apabila menerima bola daripada Arif Aiman dalam kotak penalti namun rembatan Daniel Ting tersasar dari tiang gol.
The Azkals berada dihadapan dahulu menerusi jaringan Jefferson Tabinas pada minit ke-28 apabila rembatannya tertampan kaki Feroz Baharudin.
Tersentak dengan jaringan itu, Harimau Malaya menambah gear dalam serangan dalam misi mencari gol penyamaan.

Ini merupakan kemenangan pertama Pau Marti bersama skuad kebangsaan
Hasilnya, Malaysia berjaya menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-43 apabila Syamer Kutty Abba melakukan rebound di luar kotak penalti untuk menjadikan keputusan 1-1 menuju ke separuh masa pertama.
Babak kedua menyaksikan Harimau Malaya lebih banyak menguasai bola dan melakukan serangan.

Malaysia memperoleh kemenangan apabila Safawi Rasid menjaringkan gol hasil sepakan penalti pada minit ke-73 selepas Arif Aiman dijatuhkan oleh Matthew Baldisimo dalam kotak penalti. Keputusan 2-1 kekal sehingga tiupan wisel penamat ditiupkan.
Malaysia akan bertemu Lubnan dalam aksi akhir Pestabola Merdeka 2024 pada Ahad ini manakala Filipina akan bertemu Tajikistan dalam perlawanan penentuan tempat ketiga/keempat pada hari yang sama.